KUMAR lega anaknya di benarkan pulang ke rumah Jumaat lalu.
KUMAR lega anaknya di benarkan pulang ke rumah Jumaat lalu.
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol skuad hoki negara, S Kumar mengakui kini berasa lebih tenang dalam menghadapi kontroversii gagal ujian doping ketika Kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu selepas anaknya, Siddtaa Pavanaj yang baru berusia sembilan bulan tidak lagi ditahan di hospital.

Anak ketiga penjaga gol berusia 38 tahun itu sebelum ini ditahan selama empat hari kerana mengalami jangkitan pada paru-paru sebelum dibenarkan pulang Jumaat lalu, tempoh sama yang menyaksikan Kumar terpaksa berdepan tekanan selepas diumumkan positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

“Memang sekarang hati saya berasa lebih tenang dan baru boleh fokus semula untuk menghadapi isu doping ini.

“Anak saya sudah mula selera untuk minum susu tetapi dalam tempoh dua minggu lagi perlu menjalani rawatan susulan semula. Minggu lalu memang saya agak fobia selepas anak dimasukkan ke hospital.

“Sekarang, saya akan cuba meneliti dan mengingati apakah makanan atau minuman yang mungkin saya terambil dengan tidak sengaja yang ada kaitan dengan isu doping ini,” katanya.

Jelas Kumar, kini pihaknya hanya menunggu tarikh sesi pendengaran oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas surat untuk tujuan itu sudah pun dihantar kepada badan induk berkenaan menerusi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

“FIH bercuti sehingga 3 Januari kerana sambutan Krismas dan sempena tahun baru. Selepas tempoh itu mungkin saya akan dapat tahu tarikh sesi pendengaran.

“Kalau boleh saya berharap sesi pendengaran ini dapat dijalankan secepat mungkin untuk membolehkan saya membela diri,” katanya.

Penjaga gol yang sudah melakukan 295 penampilan bersama Malaysian Tigers itu pernah melalui detik sedih kehilangan anak keduanya, Harsheen, 3, dua tahun lalu ketika di berada di Antwerp, Belgium untuk menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 5:59 PM