Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Walaupun masih dirundung kesedihan dengan kematian mengejut anaknya Harshenn pada 18 Jun lalu, S Kumar sudah bersedia untuk kembali bersaing merebut posisi penjaga gol utama pasukan hoki kebangsaan di bawah kendalian jurulatih baru, Stephen Van Huizen.

Kumar, 36, berkata, walaupun sukar untuk melupakan episod duka itu, namun dia masih bersemangat untuk mempertahankan posisi sebagai penjaga gol nombor satu negara jika khidmatnya masih diperlukan.

“Siapa yang tidak sedih dengan kehilangan anak, apatah lagi secara tiba-tiba. Memang hingga sekarang kami sekeluarga masih sukar menerima ketiadaan Harshenn. Kematiannya turut memberi tamparan hebat kepada diri saya. Selama sebulan saya langsung tidak memikirkan apa-apa termasuk hoki.

“Tapi lama kelamaan saya boleh menerima hakikat anak saya sudah tiada. Kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu bangkit daripada tragedi ini. Walaupun sesekali saya berasa sangat kehilangan tapi saya dapat mengawal diri,” ujar Kumar.

Harshenn, 3, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah ketika Kumar dan pasukan kebangsaan sudah berada di Antwerp, Belgium bagi menghadapi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia. Ketiadaan Kumar diisi penjaga gol veteran, Roslan Jamaluddin.

Kegagalan di Antwerp menyebabkan Malaysia sekali lagi gagal layak ke Olimpik sekali gus menguburkan impian Kumar beraksi di pentas berprestij itu buat julung kali.

Kumar yang mula mewakili negara pada Sukan Asia 2002 dan beraksi dalam pelbagai kejohanan besar masih kempunan untuk beraksi di Olimpik bagi melengkapkan karier gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:02 AM