KUMAR (kanan) seharusnya mendapat pembelaan KBS.
KUMAR (kanan) seharusnya mendapat pembelaan KBS.
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol skuad hoki negara, S Kumar perlu mendapat pembelaan sepenuhnya daripada semua pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam berdepan kontroversi gagal ujian doping sebagaimana yang pernah dilakukan ke atas jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Bekas Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Kumar tidak sepatutnya dianaktirikan dalam menghadapi isu itu selepas mengambil kira sumbangan dan pengorbanan besar yang dilakukannya selama ini untuk Malaysian Tigers.

“Patut lakukan perkara sama. Jangan fikir acara membabitkan individu saja sebaliknya sukan berpasukan juga perlu mendapat pembelaan,” kata Nur Azmi. “Ini kerana bagi saya Kumar sangat berharga berbanding barisan pemain lain yang berada di dalam skuad kebangsaan ketika ini.

“Sumbangannya terlalu besar kerana sanggup lagi bermain untuk negara pada usia 38 tahun. Kumar juga menghadapi pelbagai dugaan sebelum ini termasuk kehilangan ayah dan anak tersayang ketika beraksi untuk negara. Jadi dia perlu mendapat pembelaan sebaik mungkin dengan menyediakan pelbagai sokongan terbaik untuknya.”

Menurut Nur Azmi, sepanjang mengenali penjaga gol berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu, dia sama sekali tidak percaya Kumar mengambil bahan terlarang dengan sengaja.

“Kumar bukanlah seorang pemain yang mempunyai masalah disiplin, bersosial atau sebagainya. Sebaliknya dia seorang bapa yang amat menitikberatkan keluarga. Saya mahu dia dibela sebaik-baiknya kerana tidak mahu orang melihat dirinya serta sukan hoki daripada sudut yang negatif,” katanya.

Kumar didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu sekali gus berdepan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Dia enggan mencabar keputusan itu menerusi ujian sampel B, sebaliknya bersedia untuk terus membela diri pada sesi pendengaran yang dijadual berlangsung bulan depan.

Kumar akan dibela peguam Jadadish Chandra yang turut terbabit membantu kes Chong Wei.

Chong Wei digantung lapan bulan selepas positif dexamethasone pada tahun 2015 sebelum bangkit meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:55 PM