KETUA Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Negara, Stephen Van Huizen (kanan) pada sidang media mengenai isu doping.  FOTO/HAFIZ SOHAIMI
KETUA Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Negara, Stephen Van Huizen (kanan) pada sidang media mengenai isu doping. FOTO/HAFIZ SOHAIMI
Saiful Affendy Sapran


ARENA hoki tempatan menerima tamparan selepas penjaga gol utama skuad negara, S Kumar didapati positif kerana menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Perkara itu disahkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan pada sidang media hari ini apabila menyatakan pihaknya sudah menerima surat berhubung keputusan ujian doping pemain berkenaan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), pada 12 Disember lalu.

Jelas Subahan, kandungan surat itu menyatakan Kumar didapati positif sibutramine selepas melalui proses ujian pada aksi terakhir peringkat kumpulan ketika bertemu Oman.

Ketika ini, Kumar akan digantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun dengan sesi pendengaran dijadualkan Januari tahun depan.

“Ia bukan bahan yang diambil untuk meningkatkan prestasi, tapi oleh kerana bahan itu berada dalam badan, walaupun sedikit, FIH perlu mengambil tindakan ke atas Kumar.

“Kita tahu Kumar sudah mempunyai 295 kap untuk negara dan sudah melalui kira-kira 10 proses ujian doping sepanjang kariernya dan setiap kali ujian itu adalah negatif.

“Bagi pihak kami walaupun menidakkannya, masih perlu juga mengakui keputusan itu,” kata Subahan.

Jelas Subahan, untuk menghadapi situasi itu, MHC akan memberikan sokongan padu kepada Kumar termasuk akur dengan keputusan penjaga gol negara itu yang enggan mencabar sampel B, sebaliknya ingin terus ke sesi pendengaran.

“Untuk berlaku adil, Kumar perlu diberi peluang untuk memberikan penjelasan dan kami akan sentiasa berada di belakangnya.

“Saya harap hukuman ke atasnya diringankan. Tempoh penggantungan dua tahun bukannya singkat, malah kehilangan Kumar untuk dua bulan sudah terlalu lama buat kami,” katanya yang turut menyatakan akan menghantar surat permohonan bagi sesi pendengaran kepada FIH esok.

Sementara itu, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, kes membabitkan Kumar tidak akan menjejaskan sebarang keputusan yang diraih skuad negara ketika Piala Asia lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada India pada aksi final.

“Jika mengikut peraturan WADA, andai lebih dua pemain positif ujian doping, baru keputusan boleh diubah atau dibatalkan.

“Tapi dalam kes ini hanya membabitkan seorang pemain. Jadi tiada sebarang perubahan keputusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 6:46 PM