SEBAHAGIAN pemain sepak takraw negara tiba di balai ketibaan KLIA selepas pulang dari menyertai Kejohanan Piala Raja Thailand di Bangkok. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
SEBAHAGIAN pemain sepak takraw negara tiba di balai ketibaan KLIA selepas pulang dari menyertai Kejohanan Piala Raja Thailand di Bangkok. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Haika Khazi


PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) enggan menyalahkan pemain biarpun gagal mara ke final acara berpasukan Piala Raja Thailand selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi separuh akhir semalam.

Sebaliknya, pengurus pasukan, Yusoff Ali berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kejayaan skuad negara membawa pulang dua pingat emas menerusi acara regu dan quardrant serta gangsa beregu berpasukan daripada kejohanan di Bangkok itu.

“Bagi saya, kejayaan menang dua emas dan satu gangsa itu sudah cukup membanggakan.

“Saya bukan mahu mencari alasan tapi dua pemain utama negara mengalami masalah kesihatan sehingga membantu kepada kegagalan kita mara ke final ketika bertemu Korea Selatan.

“Kami bawa empat pemain apit kanan dan empat perejam, tapi pada saat akhir, dua daripada perejam itu, Hafizi (Razak) dan Mohd Hafiah (Dollah) tidak dapat digunakan kerana masing-masing mengalami kecederaan betis dan demam. Akibatnya kami terpaksa menurunkan Suhairi (Sulaiman) yang beraksi sebagai apit kiri sebagai pengganti,” katanya ketika tiba di KLIA bersama pemain dan jurulatih Abdul Talib Ahmad di sini sebentar tadi.

“Saya bukan mahu mencari alasan tapi Piala Raja Thailand adalah kejohanan yang memenatkan kerana pemain perlu keluar seawal jam 6 pagi dan hanya akan pulang ke hotel selepas tengah malam.

“Jadi, pemain tidak mempunyai tempoh rehat mencukupi dan faktor itu turut memberi kesan kepada aksi pemain.”

Sementara itu, Talib berkata beliau turut berpuas hati dengan aksi anak buahnya biarpun tersingkir di separuh akhir.

“Pemain sudah cuba yang terbaik tapi kita gagal menang kerana kekurangan pilihan disebabkan kecederaan Hanafiah dan Norhafizi,” katanya.

Kekalahan itu jelas satu lagi tamparan buat PSM selepas sukan tradisi itu digugurkan daripada senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN), Selasa lalu.

Malah, ia mencetuskan persoalan mengenai kemampuan anak buah Talib untuk menghadapi Sukan Asia tahun depan serta keberkesanan Program Podium di bawah kelolaan Institut Sukan Negara (ISN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 5:26 PM