Abdul Talib mahu skuad negara tewaskan Thailand. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Abdul Talib mahu skuad negara tewaskan Thailand. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Mesti kalahkan Thailand. Hanya itu saja caranya untuk membuktikan Malaysia memang jaguh Asia dan menutup mulut pengkritik apabila skuad sepak takraw negara menyertai kejohanan Piala Raja Thai, akhir bulan ini.

Sebelum ini, kejayaan skuad negara meraih pingat emas acara regu di Sukan Asia 2018 dikritik hebat kerana Malaysia dikatakan bernasib baik susulan seteru utama, Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Bahkan, dalam acara final berpasukan, Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand apabila regu pertama - Zulkifli Abdul Razak, Noraizat Mohd Nordin (Norhaffizi Abd Razak) dan Syazreenqamar Salehan tumbang pada perlawanan pertama.

Percaturan menurunkan regu utama sebagai regu kedua juga tidak menjadi apabila Mohd Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Mohd Farhan Adam juga gagal meraih mata penyamaan.

Berikutan itu, ketua jurulatih kebangsaan, Abdul Talib Ahmad kini mempunyai tugas sukar untuk mengekalkan rentak konsisten skuad negara selepas cemerlang menumbangkan Indonesia 2-1 pada aksi final antara regu Sukan Asia di Palembang bulan lalu.

Abdul Talib perlu bijak mengatur strategi terbaik termasuk pemilihan pemain untuk diturunkan sebagai regu utama pada saingan Piala Raja Thai nanti.

Tindakan itu perlu jika mahu mempertahankan dua pingat emas iaitu dalam acara antara regu dan quadrant yang dimenangi mereka pada kejohanan sama, tahun lalu.

Abdul Talib ketika dihubungi, mengesahkan semua pemain negara akan melaporkan diri untuk menjalani latihan intensif di Majlis Sukan Negara (MSN) mulai minggu ini, sebagai persediaan menghadapi saingan di Thailand.

"Kita akan memanfaatkan masa yang ada untuk memantapkan latihan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Perkara ini perlu bagi memastikan skuad negara cukup bersedia menghadapi saingan hebat bakal diberikan pasukan lain terutama tuan rumah, Thailand," katanya hari ini.

Pada edisi tahun lalu, trio negara diketuai Syahir (tekong), Farhan (pengumpan) dah Muhammad Norhafizi Abd Razak (perejam) mengekalkan gelaran juara antara regu dengan menewaskan Indonesia 2-0, dalam aksi final di pusat beli-belah Fashion Island.

Malaysia juga berjaya mempertahankan kejuaraan acara quadrant (berempat) selepas menewaskan Singapura, 2-1 dalam aksi final sepak takraw Piala Raja Thai.

Namun, Malaysia gagal melangkah ke final acara berpasukan apabila disekat Korea Selatan di pentas separuh akhir. Acara itu kekal didominasi tuan rumah, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 5:30 PM