Devinder Singh


EMPAT tahun lalu, penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (gambar) baru berusia 17 tahun apabila dia dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama.

Kini, selepas sembuh daripada kecederaan tangan, Syihan mahu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menarik perhatian bukan saja jurulatih skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tetapi juga jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Tangannya patah ketika mewakili Kelantan pada perlawanan persahabatan, Jun lalu dan akibatnya, dia tidak dapat beraksi di Sukan SEA selain kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC tetapi Syihan gembira apabila diberi peluang untuk sekali lagi menyarung jersi negara.

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih (Kim Swee) kerana memanggil saya ke kem latihan pusat ini dan ini adalah peluang saya untuk menyarung jersi kebangsaan sekali lagi,” kata Syihan, 21. “Tangan saya sudah sembuh sepenuhnya dan pergerakan saya langsung tidak terganggu.

“Proses pemulihan berjalan baik dan saya sudah mampu berlatih dalam keadaan biasa. Saya sudah bermain dalam beberapa aksi Piala Presiden dan kecederaan ini langsung tidak terasa lagi.”

Syihan masih lagi ingat ketika dia dipanggil bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk aksi persahabatan menentang Palestin pada 2013. Dia masuk menggantikan Norazlan Razali di hujung permainan.

Dalam tempoh seminit, dia melepaskan gol hasil sepakan percuma tetapi membalas kesilapan itu dengan menyelamatkan penalti yang diambil Palestin walaupun usaha itu tidak cukup untuk menghalang kemenangan 2-0 lawan di Kuantan.

“Pengalaman itu sangat berguna buat saya,” katanya. “Menyelamatkan sepakan penalti itu adalah saat istimewa dalam karier saya. Saya harap dapat kembali bermain bersama skuad senior selepas ini.”

Bagaimanapun, Syihan perlu terlebih dulu memastikan namanya terpilih dalam senarai 23 pemain yang akan dibawa Kim Swee ke Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC di China, Januari nanti.

Penjaga gol lain yang turut dipanggil ialah Ifwat Akmal Chek Kassim, Haziq Nadzli dan Amierul Hakimi Awang.

“Saya perlu merebut tempat di dalam pasukan dan saya perlu bekerja keras untuk meyakinkan jurulatih,” kata Syihan yang sering menjadi pilihan utama bekas jurulatih, Frank Bernhardt sebelum ini.

“Penjaga gol lain yang dipanggil semuanya bagus dan berpengalaman. Selepas kecewa akibat gagal beraksi di Sukan SEA, saya sudah sedia untuk kembali merebut tempat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 7:10 PM