AKSI Matthew Davies (kiri)  ketika Sukan SEA KL2017 lalu.
AKSI Matthew Davies (kiri) ketika Sukan SEA KL2017 lalu.
Devinder Singh


Kuala Lumpur: Matthew Davies mahu meluaskan pengaruhnya di dalam skuad kebangsaan dan pada masa sama, dia juga mahu mencuri perhatian jurulatih, Nelo Vingada pada aksi kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong, Selasa nanti.

Kapten Pahang itu masih belum bermain untuk skuad kebangsaan sejak Vingada dilantik, Jun lalu dan ia disebabkan masalah kecederaan selain tugasan di Sukan SEA.

Tetapi ketika pertahanan kanan, Rizal Ghazali digantung, Davies berpeluang untuk mewakili negara buat kali ke-14 sejak kali pertama menyarung jersi kebangsaan pada 2015.

“Saya dipanggil Vingada ketika aksi menentang Lubnan (Jun) tetapi saya cedera dan tidak dapat bermain,” kata Davies, 22, yang kali terakhir mewakili skuad senior negara pada Mac lalu.

“Beliau banyak merubah skuad dan saya difahamkan pemain gembira apabila dipanggil menjalani latihan pusat dan kami juga tidak sabar untuk bermain di bawah kendaliannya.”

Davies dijangka turun pada perlawanan menentang Hong Kong bersama-sama pemain Perak, Amirul Azhan Aznan.

“Persiapan kami berjalan baik dan penggantungan serta kecederaan adalah perkara biasa di dalam bola sepak,” kata Davies. “Kami cukup profesional untuk berdepan perkara sebegini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:29 AM