KIM Swee (kiri) ketika mengendalikan sesi kem latihan pusat skuad B-23 di Wisma FAM. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
KIM Swee (kiri) ketika mengendalikan sesi kem latihan pusat skuad B-23 di Wisma FAM. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Devinder Singh


TERDAPAT tujuh pemain yang memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa di dalam skuad latihan kendalian Datuk Ong Kim Swee tetapi itu tidak bermakna mereka akan mendapat tempat secara automatik untuk ke Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun, Januari nanti.

Walaupun mengakui beliau amat menghargai pengalaman yang dimiliki tujuh pemain terbabit, Kim Swee tetap mahu berlaku adil terhadap 30 pelatih yang turut serta dalam kem latihan kali ini.

“Sudah tentu, pengalaman mereka mampu menjadi sesuatu yang berharga buat skuad kebangsaan,” kata Kim Swee ketika ditemui di hotel penginapan pasukan, hari ini. “Tetapi walaupun anda memiliki pengalaman, ia tidak akan bermakna jika anda tidak mempunyai sikap positif yang saya perlukan.”

Pertahanan kanan Pahang, Matthew Davies adalah pemain paling berpengalaman ketika ini selepas mewakili negara sebanyak 14 kali bersama skuad senior tetapi dia masih lagi dibelenggu masalah kecederaan.

Pemain lain yang turut pernah beraksi bersama skuad kebangsaan ialah Safawi Rasid (enam kali), Syamer Kutty Abba (dua), Adam Nor Azlin, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Syafiq Ahmad dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (masing-masing sekali).

Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim menjalani latihan bersama skuad senior di bawah jurulatih Nelo Vingada tetapi masih belum membuat sebarang penampilan setakat ini.

“Tidak kira sama ada mereka adalah pemain skuad senior atau tidak. Ia bukan jaminan untuk mereka disenaraikan bagi menghadapi kejohanan kali ini,” kata Kim Swee yang bertanggungjawab membuka ruang kepada Davies dan Safawi tampil buat kali pertama bersama skuad kebangsaan iaitu ketika beliau masih bergelar jurulatih skuad senior negara.

“Mereka masih perlu membuktikan kemampuan masing-masing, sama seperti pemain lain. Ini adalah peringkat tertinggi kejohanan remaja Asia dan justeru, mereka perlu mempunyai sikap positif selain mahu beraksi pada tahap terbaik masing-masing. Itulah yang menjadi kriteria utama.”

Ketika Davies memiliki caps terbanyak, penjaga gol Kelantan, Syihan pula muncul pemain pertama dalam peringkat usianya yang bermain untuk negara.

Syihan baru berusia 17 tahun ketika dipanggil bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal pada 2013 dan walaupun hanya masuk pada minit ke-89, dia pernah menikmati aksi persahabatan menentang Palestin dan berjaya menyelamatkan penalti.

Syamer, Adam, Khairil dan Syafiq semuanya tampil buat kali pertama bersama skuad negara pada kempen kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara, baru-baru ini.

Sementara itu, kehadiran Tommy Mawat Bada meningkatkan jumlah kehadiran pemain ke kem latihan pusat kepada 28 orang dan hanya Davies serta Syafiq yang masih belum melaporkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 10:28 PM