CHENG Hoe kini punya banyak pilihan pemain untuk dipanggil.
CHENG Hoe kini punya banyak pilihan pemain untuk dipanggil.
Devinder Singh

AKSI cemerlang pemain muda negara dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di China berjaya membuka mata pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe yang sudah kembali ke Malaysia terpikat dengan persembahan beberapa pemain skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu selepas menewaskan Arab Saudi 1-0, Selasa lalu untuk menempah pertemuan dengan Korea Selatan di suku akhir, esok.

Cheng Hoe yang dalam proses merangka persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan di Beirut pada 27 Mac ini mempunyai banyak pilihan pemain untuk dipanggil.

Enam pemain skuad B-23 - Adam Nor Azlin, Matthew Davies, Nor Azam Azih, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed - sudah membuat penampilan antarabangsa bersama pasukan senior dengan Cheng Hoe bercadang memanggil lebih ramai pemain muda.

“Saya menyaksikan semua tiga perlawanan (peringkat Kumpulan C) di China dan saya fikir ia satu pendedahan terbaik buat semua pemain,” kata Cheng Hoe.

“Bermain dalam kejohanan itu akan memberikan banyak impak positif terhadap taktik, teknik, dan kekuatan fizikal serta mental mereka.”

Cheng Hoe yang sedang mencari jalan untuk menaikkan ranking Malaysia dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang kini berada di kedudukan ke-175 dunia bagaimanapun turut menjelaskan terhadap kesan menyenaraikan terlalu ramai pemain muda.

“Kita tidak boleh menyenaraikan semua pemain muda dalam skuad kebangsaan kerana bola sepak senior di peringkat antarabangsa berbeza,” katanya.

“Kita perlukan skuad gabungan yang mana pemain berpengalaman dapat membimbing pemain muda dan saya perlu memantau semua prestasi pemain dalam Liga M.”

Barisan pertahanan termasuk Adam, Dominic Tan dan Irfan Zakaria dilihat menampilkan aksi cemerlang sementara prestasi pemain sayap Akhyar Rashid juga mengagumkan Cheng Hoe.

“Saya perlu berbincang dengan pembantu saya, namun saya fikir pemain B-23 sudah membuktikan kemampuan mereka,” tambah Cheng Hoe yang dinaikkan pangkat sebagai jurulatih kebangsaan selepas Nelo Vingada meletakkan jawatan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 6:09 PM