IRFAN (kanan) perlu perkemas permainan di bahagian pertahanan bagi memikat Kim Swee.
IRFAN (kanan) perlu perkemas permainan di bahagian pertahanan bagi memikat Kim Swee.
Devinder Singh


IRFAN Zakaria sedia diturunkan di mana-mana posisi jika tindakan itu menjamin tempatnya di dalam skuad kebangsaan yang akan bermain di Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC di China, bulan depan.

Sering diletakkan di posisi tengah bertahan oleh majikannya, Kuala Lumpur, Irfan muncul salah satu daripada tiga tonggak pertahanan di dalam skuad kebangsaan yang memenangi pingat perak di Sukan SEA, Ogos lalu.

Tetapi, Irfan tidak keberatan untuk diletakkan sebagai pertahanan tengah jika itu yang dimahukan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

“Biasanya saya bermain di bahagian pertahanan pada setiap aksi skuad Bawah 23 Tahun dan justeru, saya perlu memantapkan diri bagi memastikan nama saya tersenarai,” kata Irfan yang membantu Kuala Lumpur memenangi gelaran Liga Perdana 2017.

“Jurulatih lebih arif mengenai kedudukan saya dan saya akan memberikan sumbangan 100 peratus tidak kita di mana posisi sekalipun.”

Irfan, 22, berkata, dia masih perlu mengukuhkan persefahaman dengan rakan di pertahanan tengah, Adam Nor Azlin dan Adib Zainuddin terutama selepas Malaysia melepaskan dalam setiap empat perlawanan peringkat kumpulan di Sukan SEA termasuk ketika bertemu Brunei dan Laos.

Dia sedar bahawa setiap kesilapan walaupun kecil akan mengakibatkan mereka dihukum oleh lawan Malaysia di dalam Kumpulan C iaitu Arab Saudi, Iraq dan Jordan di Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC nanti.

“Kami perlu meningkatkan corak pertahanan kami kerana kami membenarkan lawan menjaringkan gol pada setiap perlawanan di Sukan SEA,” kata Irfan. “Kelemahan itu sepatutnya menjadi pengajaran berguna buat kami dan kami tidak sepatutnya memandang mudah setiap lawan. Kami perlu menumpukan perhatian sejak minit pertama lagi.

“Lawan kami di China nanti memang hebat kerana mereka mempunyai fizikal yang jauh lebih kuat berbanding kami. Justeru, kami perlu berusaha keras dalam setiap sesi latihan.

“Apabila kami ke Korea Selatan untuk meneruskan sesi latihan selepas ini (bermula 17 Disember), akan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan yang mempunyai fizikal kuat dan kami perlu menimba sebanyak mungkin pengalaman.”

Setakat ini, Kim Swee tidak bercadang untuk meletakkan Irfan di bahagian tengah kerana beliau mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi posisi berkenaan.

“Saya lebih suka meletakkan Irfan di bahagian pertahanan berbanding merehatkan dia di bangku simpanan kerana kami sudah mempunyai ramai pemain tengah,” kata Kim Swee. “Dia seorang pertahanan tengah yang bagus dan saya amat menghargai pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 3:33 PM