Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) berang dengan aksi pemainnya. FOTO EPA
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) berang dengan aksi pemainnya. FOTO EPA
AFP

PEP Guardiola memberi amaran kepada pemain Manchester City supaya tidak mempamerkan permulaan hambar selepas juara bertahan itu pulih untuk membenam Aston Villa 3-0.

Barisan kendalian Guardiola semakin memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Liverpool dengan tiga mata terima kasih kepada gol daripada Raheem Sterling, David Silva dan Ilkay Gundogan di Stadium Etihad.

Tetapi boss City, Guardiola agak kecewa dengan cara pemain berhempas pulas untuk menguasai permainan pada separuh masa pertama, sehari selepas bangkit dari ketinggalan menentang Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara sebelum menang 5-1.

Kebimbangannya City mungkin terperangkap pada masa depan jika meneruskan aksi lesu pada separuh masa pertama.

“Sudah tentu, pujian dan kelebihan kepada Aston Villa. Separuh masa pertama kami bermain bola sepak tetapi kami tidak beraksi dengan cara yang sepatutnya kami main,” kata Guardiola.

“Kami lebih baik pada separuh masa kedua. Saya tidak tahu sama ada ia disebabkan gol awal. “Pada babak kedua kami beraksi dengan cara biasa kami tetapi kami harus cuba dan bermain 90 minit. Kami hanya bermain 45 minit.”

Kemenangan kedua berturut City dalam liga bermakna Liverpool berdepan tekanan untuk menewaskan Tottenham di Anfield malam ini, pertembungan semula membabit dua finalis Liga Juara-Juara musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 2:24 PM