Azlan Muhammad Zain


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menilai ketua jurulatih negara, Nelo Vingada.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan pengendali dari Portugal itu yang mahu diberikan masa lebih panjang membimbing skuad negara.

“Terpulang kepada FAM untuk membuat penilaian berhubung Vingada. Namun bagi saya, siapa saja yang masuk (menjadi jurulatih kebangsaan) akan berdepan berdepan masalah yang sama,” katanya.

Kedudukan Vingada hangat diperkatakan susulan dua kekalahan berturut-turut kepada Korea Utara di Buriram, Thailand sekali gus menutup peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Malah ada bekas pemain yang mendesak jurulatih berkenaan dipecat susulan perkembangan terbaru berkenaan selain gagal meraih kemenangan dalam semua perlawanan sepanjang kendaliannya.

Jelas Khairy, tiada jurulatih mampu menghasilkan peningkatan mendadak dalam tempoh yang singkat.

SKUAD bimbingan Kim Swee (dua dari kanan) wajar diberikan lebih fokus. -Foto fail
SKUAD bimbingan Kim Swee (dua dari kanan) wajar diberikan lebih fokus. -Foto fail

“Ambil siapapun menjadi jurulatih kebangsaan, tiada peningkatan mendadak. Tunggu sistem yang ada dirawat dan baik pulih, barulah kita dapat melahirkan pemain mengikut struktur yang betul.

“Keutamaan ketika ini adalah untuk memberi fokus kepada pemain muda yang ada di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, Bojan Hodak dan sebagainya. Kita perlu tunggu mereka menjadi pemain skuad senior kebangsaan,” katanya.

Tambahnya kejohanan serantau seperti Piala AFF mungkin boleh diharapkan menghasilkan keputusan positif namun bukannya layak ke Piala AFC yang memerlukan masa.

Beliau turut menegaskan tiada pendekatan mengambil pemain naturalisasi seperti diamalkan sebahagian negara kecuali pemain berkenaan mempunyai pertalian keluarga di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 7:33 PM