DISEBALIK kegagalan dalam skuad senior, skuad B-23, B-19, B-16 mengisi slot ke pusingan akhir Kejohanan AFC 2018
DISEBALIK kegagalan dalam skuad senior, skuad B-23, B-19, B-16 mengisi slot ke pusingan akhir Kejohanan AFC 2018
BERNAMA

TAHUN 2017 amat muram bagi bola sepak kebangsaan meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mengusahakan fasa peralihan ke arah pembangunan semula pasukan negara di bawah pimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai presiden baharu bagi penggal 2017-2021.

Antara langkah drastik yang diambil Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu sejurus menang tanpa bertanding pada pemilihan ahli gabungan pada 25 Mac ialah mengubah struktur kejurulatihan skuad Harimau Malaya dengan melantik jurulatih kelahiran Portugal, Nelo Vingada sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan.

Pelantikan Vingada diperkuat dengan kehadiran semula bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim bersama-sama S Kunalan, Amirulhadi Zainal dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak ke pangkuan skuad negara demi membantu menaikkan semula imej bola sepak negara selepas mengumumkan persaraan masing-masing daripada skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Namun Vingada, yang diberi jolokan ‘The Professor’ susulan kebijaksanaan menguruskan sesuatu pasukan yang dibimbingnya sebelum ini, bagaimanapun seakan hilang ‘sengat’ apabila gagal melaksanakan tanggungjawab setelah skuad bimbingannya itu menyajikan aksi terburuk dengan mencatat enam kekalahan dan satu keputusan seri dalam tujuh aksi di peringkat antarabangsa.

Empat daripada enam kekalahan skuad negara adalah dengan Lubnan, Hong Kong dan dua kali dengan Korea Utara pada pusingan kelayakan Piala Asia 2019, sekali gus meranapkan harapan jutaan peminat tanah air untuk menyaksikan jalur gemilang berkibar pada pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu.

TUNKU Ismail melaksanakan langkah drastik dalam FAM.
TUNKU Ismail melaksanakan langkah drastik dalam FAM.

Dua kekalahan lagi dicatat pasukan kebangsaan ketika berdepan Syria dan Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa, sementara satu keputusan seri diraih sewaktu melayani kunjungan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka bagi saingan kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019.

Prestasi memalukan itu sekali gus memberi kesan kepada kedudukan skuad negara dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila Malaysia terjerumus ke tahap terburuk sejak 1993 dengan menghuni tangga ke-174 di belakang negara jiran Singapura (170), Indonesia (154) dan Thailand (132).

Susulan kegagalannya, Vingada akhirnya melepaskan jawatan yang disandangnya selama enam bulan itu pada 6 Disember, selepas mendapat kritikan hebat pelbagai pihak antaranya media tempatan, legenda serta bekas pemain kebangsaan dan penyokong bola sepak negara.

Bagaimanapun, penyokong tempatan masih mampu menarik nafas lega dengan pencapaian memberangsangkan pemain muda negara yang mempamerkan kesungguhan dalam meniti kejayaan sepanjang tahun ini.

Ia dibuktikan apabila ketiga-tiga skuad muda negara – Bawah 23 Tahun (B-23), Bawah 19 Tahun (B-19) dan Bawah 16 Tahun (B-16) masing-masing berjaya mengisi slot ke pusingan akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee yang diberi mandat mengemudi skuad B-22 negara pada Mac lalu merekodkan​​​​ sembilan kemenangan, satu seri dan empat kekalahan dalam 14 perlawanan membabitkan semua aksi di peringkat antarabangsa.

Daripada sembilan kemenangan itu, empat daripadanya dicatat sepanjang tempoh persediaan sehingga pusingan kelayakan AFC B-23 2018 dengan dua kemenangan berharga berjaya diraih skuad negara ke atas Indonesia dan Mongolia sekali gus mengungguli saingan kumpulan H pada kempen itu.

VINGADA (kanan)  gagal pacu kemenangan dalam skuad senior.
VINGADA (kanan) gagal pacu kemenangan dalam skuad senior.

Sementara lima kemenangan lagi berjaya dicatat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu, namun kekalahan 0-1 di tangan negara jiran Thailand pada aksi final memaksa anak buah Kim Swee sekadar berpuas hati merangkul pingat perak di laman sendiri.

Pada masa sama, skuad B-19 negara turut melakar kejayaan tersendiri selepas akhirnya berjaya menamatkan penantian selama 12 tahun untuk beraksi di pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak AFC B-19 2018 selain mara ke pentas final Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2017 buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Selain itu, skuad B-19 yang dibimbing Bojan Hodak juga menunjukkan konsistensi sepanjang tahun apabila merekodkan lapan kemenangan dengan hanya dua kekalahan dan satu seri dalam 11 perlawanan.

Tidak terhenti setakat itu, skuad B-16 di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Lim Teong Kim yang sering berkelana ke luar negara bagi tujuan pendedahan beraksi menentang beberapa negara kuasa besar Eropah juga tidak ketinggalan mempamerkan peningkatan.

Meskipun tewas di tangan Mexico, Austria, Crotia dan Rusia pada Kejohanan Torneo De lle Nazioni 2017 di Austria, April lalu, namun pengalaman itu boleh diguna pakai bagi memperbaiki mutu corak permainan dalam menghadapi saingan Piala AFC B-16 2018 di Kuala Lumpur.

Pencapaian memberangsangkan ketiga-tiga skuad berkenaan memberi petanda positif bahawa sukan nombor satu tanah air itu mempunyai barisan pemain pelapis berkualiti yang boleh diketengahkan pada masa akan datang.

Selain usaha berganda yang dilakukan FAM, kerajaan Malaysia juga memainkan peranan besar dengan terus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dalam usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara seperti pada era 70-an dan 80-an.

Peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Pembentangan Bajet 2018 membabitkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sudah pasti menaikkan lagi semangat untuk terus mencungkil dan memperkukuhkan bakat bola sepak negara.

NAJIB umum RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif program berkaitan sukan di seluruh negara termasuk NFDP.
NAJIB umum RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif program berkaitan sukan di seluruh negara termasuk NFDP.

Ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober lalu, Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif program berkaitan sukan di seluruh negara termasuk Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP).

Selain NFDP, peruntukan tersebut turut merangkumi program akar umbi, latihan atlet, Hari Sukan Negara dan FitMalaysia dalam usaha mengekalkan momentum sukan negara menuju matlamat menjadi negara kuasa sukan.

Dalam pada itu, saingan Liga Malaysia (Liga-M) pula menyaksikan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan kehebatan selaku gergasi bola sepak tanah air apabila menggondol dua piala musim ini iaitu dengan mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut sejak 2014 selain menjulang Piala Malaysia buat pertama kali.

KIM Swee (dua dari kanan) rekod sembilan kemenangan, satu seri dan empat kekalahan dalam 14 perlawanan dalam aksi antarabangsa.
KIM Swee (dua dari kanan) rekod sembilan kemenangan, satu seri dan empat kekalahan dalam 14 perlawanan dalam aksi antarabangsa.

Saingan lebih sengit ditampilkan dalam Liga Perdana dengan juara liga hanya ditentukan melalui perbezaan gol pada penghujung musim yang menyaksikan Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara manakala Terengganu muncul naib juara dan sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan berkenaan menempah tiket ke saingan Liga Super pada musim depan.

Dalam pada itu, pelbagai isu menyelubungi saingan Liga-M musim ini termasuk keputusan beberapa pasukan merehatkan jurulatih masing-masing atas alasan kemerosotan prestasi pasukan bimbingan mereka dan antara yang menjadi mangsa adalah pengendali PKNS FC, E Elavarasan yang terpaksa melepaskan jawatannya susulan prestasi hambar skuad Semut Merah dalam Liga Super.

Selain itu, masalah kelewatan pembayaran gaji oleh beberapa pasukan turut memaksa pentadbir Liga M, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) campur tangan sehingga memberi amaran untuk pemotongan gaji kepada pasukan terlibat sekiranya gagal melunaskan pembayaran gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 3:50 PM