NEYMAR menjalani latihan di kompleks sukan Granja Comary, Teresopolis menjelang Copa America. — FOTO AFP
NEYMAR menjalani latihan di kompleks sukan Granja Comary, Teresopolis menjelang Copa America. — FOTO AFP
AFP

JURULATIH Brazil, Tite menegaskan beliau tidak “akan menghakimi” tuduhan serangan seksual dilakukan bintang serangannya Neymar, ketika penyerang Paris Saint-Germain itu menyatakan ia satu cubaan untuk mengugutnya.

“Saya faham dengan tahap serius isu ini,” katanya. “Tapi mesti ada masa buat orang untuk mampu menilai fakta.

“Saya tidak akan membiarkan diri saya menilai fakta itu,” kata jurulatih itu di pusat latihan skuad Brazil di pinggir Rio, yang mana mereka bersiap sedia bagi kejohanan Copa America tidak lama lagi.

“Faktanya tidak begitu jelas. Hanya masa akan memberikan anda jawapannya,” kata Tite, yang melayan beberapa soalan mengenai tuduhan itu hujung minggu lalu. “Pasukan ini melebihi segala-galanya,” ujarnya.

TITE (kiri) dan koordinator pasukan Edu Gaspar mengadakan sidang akhbar di Teresopolis. — FOTO EPA
TITE (kiri) dan koordinator pasukan Edu Gaspar mengadakan sidang akhbar di Teresopolis. — FOTO EPA

“Dalam tempoh tiga tahun saya bekerjasama dengan Neymar, semua isu peribadi kami tangani dengan cara adil dan saksama,” katanya.

“Neymar seorang pemain luar biasa,” kata Tite. “Dari segi teknikal, dia seorang yang amat diperlukan,” sekalipun beliau menambah ia tidak bermakna dia “tidak boleh diganti.”

Skandal itu meletus Sabtu lalu apabila media tempatan menyiarkan seorang wanita Brazil membuat laporan polis di Sao Paulo, menuduh bintang bola sepak berusia 27 tahun itu memperkosanya selepas pertemuan menerusi Instagram dan menjemputnya bertemu di sebuah hotel di Paris bulan lalu.

Polis Sao Paulo mengesahkan laporan mengenai tuduhan itu difailkan namun menyatakan butiran mengenai kes itu tidak boleh didedahkan.

PEMAIN Brazil (dari kiri) Miranda, Richarlison, Fernandinho dan Neymar menjalani latihan. — FOTO AFP
PEMAIN Brazil (dari kiri) Miranda, Richarlison, Fernandinho dan Neymar menjalani latihan. — FOTO AFP

Neymar berlatih di Teresopolis bersama rakan sepasukannya menjelang Copa America yang berlangsung di Brazil dari 14 Jun hingga 7 Julai depan.

Esok, juara dunia lima kali itu akan beraksi perlawanan persahabatan di ibu negara Brasilia menentang Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 7:55 AM