ESTHER Cheah, Siti Safiyah dan Syaidatul Afifah julang negara untuk tamatkan penantian emas Malaysia. -Foto BERNAMA
ESTHER Cheah, Siti Safiyah dan Syaidatul Afifah julang negara untuk tamatkan penantian emas Malaysia. -Foto BERNAMA
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Trio boling wanita negara, Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi cemerlang menamatkan penantian pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.

Pada aksi di Pusat Boling Jakabaring, Palembang itu, ketiga-tiganya mempamer persembahan bertenaga dengan mengumpul keseluruhan 4,326 jatuhan pin daripada 18 permainan keseluruhan.

Pingat perak diraih Taiwan dengan 4,255 jatuhan pin manakala Singapura berpuas hati memperoleh gangsa dengan 4,250 jatuhan pin.

Trio kedua Malaysia yang diketuai Shalin Zulkifli, Natasha Roslan dan Sin Li Jane begitupun hanya mampu menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas mengumpul 4,144 jatuhan pin.

“Kami benar-benar gembira memenangi emas ini kerana kami sudah berusaha dengan amat keras. Dengan sistem pemarkahan baharu, kami agak gemuruh tetapi kami mempercayai satu sama lain dan berada dalam landasan yang baik.

“Kali terakhir pasukan wanita memenangi emas di Sukan Asia adalah pada edisi 2006 di Doha, jadi kami menunggu amat lama untuk kejayaan ini,” kata Siti Safiyah.

Kali terakhir skuad negara memenangi emas di Sukan Asia adalah pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan skuad negara hanya membawa pulang empat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 7:29 PM