MAT Don pilih  muzik hip hop untuk dimainkan dalam bilik persalinan sebelum turun beraksi final.
MAT Don pilih muzik hip hop untuk dimainkan dalam bilik persalinan sebelum turun beraksi final.
Syafiq Aznan dan Izzali Ismail


LAGU hip hop menjadi pilihan pemain tengah import Kedah, Liridon Krasniqi untuk dimainkan dalam bilik persalinan sebelum turun beraksi di pentas akhir Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Sabtu ini.

Jelas bekas pemain tengah Slavia Prague itu, sudah menjadi rutinnya untuk membawa radio dan memasang pelbagai jenis muzik dalam usaha menghidupkan ‘mood’ di dalam bilik persalinan, sebelum mengharungi setiap perlawanan pada musim ini.

Pemain yang mesra dipanggil ‘Mat Don’ ini berkata, pelbagai jenis lagu termasuk lagu Perancis, Sepanyol, reggae dan R&B sudah menjadi halwa telinga dalam bilik persalinan dan ternyata rutin terbabit cukup digemari pemain skuad Helang Merah itu.

“Sebelum saya ke sini, tiada yang melakukan perkara sebegini. Jadi, semua pemain menggemarinya apabila saya memasang lagu kerana mereka boleh menari sambil ‘bergoyang’ untuk meredakan sedikit tekanan.

LIRIDON berswafoto bersama penyokong Kedah. FOTO/ MUHAMMAD HATIM AB MANAN
LIRIDON berswafoto bersama penyokong Kedah. FOTO/ MUHAMMAD HATIM AB MANAN

“Saya hanya mahu pemain menikmati sedikit kegembiraan dan ‘mood’. Mereka perlu berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi. Mood yang baik banyak membantu kami memperagakan aksi memberangsangkan.

“Saya menggemari muzik hip hop, jadi saya akan memasang muzik itu dalam bilik persalinan sebelum beraksi dalam aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Darul Aman, hari ini.

Mengulas lanjut pertembungan dengan skuad Harimau Selatan, pemain tengah berusia 25 tahun ini mengakui ia begitu istimewa kerana itu adalah penampilan final kali ketiga berturut-turut bagi dirinya.

“Ini adalah satu perlawanan yang begitu dinantikan penyokong kedua-dua pasukan sejak sekian lama dan saya tidak menafikan Johor DT adalah pasukan terbaik di negara ini.

“Untuk itu, kami perlu sentiasa berhati-hati, namun kita juga memiliki kelebihan yang tersendiri.

“Kami sememangnya dahagakan kejayaan dan dengan peluang yang sama rata, pasukan yang beraksi lebih baik pada malam itu akan muncul selaku juara,” katanya.

LIRIDON (tengah) pasti dikawal ketat pemain Johor DT. FOTO/BERNAMA
LIRIDON (tengah) pasti dikawal ketat pemain Johor DT. FOTO/BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:46 PM