SHAHREL (kanan) antara pemain PKNP yang tidak dapat diturunkan ketika menentang Terengganu. FOTO/ABDULLAH YUSOF
SHAHREL (kanan) antara pemain PKNP yang tidak dapat diturunkan ketika menentang Terengganu. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Azizan Hashim


PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC mungkin tidak dapat menurunkan tiga tonggak iaitu kapten Shahrel Fikri Fauzi, Syazwan Zaipol Bahari dan Ezanie Mat Salleh bagi pertemuan menentang Terengganu di Stadium Perak, malam esok.

Ia kerana trio itu belum sembuh daripada kecederaan yang dialami mereka dan ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim terpaksa mengetepikan tiga tonggak itu.

Bakar ketika mengesahkan perkara itu berkata, ketiadaan trio itu dijangka tidak menjejaskan pasukan kerana mempunyai pengganti sesuai.

“Insya-Allah pemain yang menggantikan tempat mereka akan dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin, ” katanya.

Menurutnya, PKNP FC tetap turun dengan misi untuk menang bagi menutup kempen Liga Perdana dengan kemenangan.

Bakar menyatakan matlamat pasukan itu adalah menduduki tangga ketiga pada tahun pertama beraksi dalam Liga Perdana.

“Kami akan lebih daripada berpuas hati jika berjaya mucul pasukan ketiga terbaik memandang pelbagai kekurangan pasukan.

“Apa yang pasti kami sudah meletak satu asas yang kukuh bagi membina pasukan musim depan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 4:57 PM