Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Disebabkan penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan gandingan beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengambil keputusan menolak pelawaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mewakili negara ke Piala Thomas 2020.

Perkara itu diakui sendiri V Shem, mereka mempunyai alasan kukuh untuk menolak pelawaan itu tatkala kedua-duanya sudah dan bakal menimang cahaya mata sulung.

"Isteri saya (Wong Pui Mei) baru saja melahirkan anak, jadi saya harus menjaga mereka. Wee Kiong pula akan menimang cahaya mata bulan depan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

V Shem yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, terus terang berkata, buat masa sekarang penjagaan kesihatan lebih diutamakan berbanding perkara lain.

"Covid-19 masih lagi menular, jadi faktor kesihatan paling utama," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ditanya mengenai kemampuan beregu lelaki yang disenaraikan dalam skuad Piala Thomas negara, V Shem akui BAM melakukan pilihan tepat.

"Ya, saya percaya kemampuan mereka. Kita mempunyai dua gandingan mantap, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

''Mereka berada dalam kelompok 15 terbaik dunia. Saya percaya mereka mampu beraksi dengan baik di Aarhus, Denmark," katanya yang melangsungkan perkahwinan pada hujung 2017.

Selain Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi, skuad Piala Thomas negara akan bergantung harap kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang diletakkan sebagai pasangan ketiga di temasya berkenaan.

Bagi perseorangan lelaki BAM membariskan Lee Zii Jia, Liew Daren, Cheam June Wei dan Juara Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao. BAM meletakkan sasaran separuh akhir untuk aksi Piala Thomas yang berlangsung 3 hingga 11 Oktober depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:00 AM