V Shem (kiri) fokus bergandingan dengan Wee Kiong untuk bentuk beregu yang mantap.
V Shem (kiri) fokus bergandingan dengan Wee Kiong untuk bentuk beregu yang mantap.
Ferzalfie Fauzi


KETEPIKAN perselisihan faham demi Malaysia. Itu janji pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem selepas dia bakal bergandingan semula dengan Tan Wee Kiong seperti mana yang diumumkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, sebagai pemain negara perkara itu harus dilupakan kerana paling penting sekarang ini buat mereka berdua adalah untuk membantu Malaysia bukan saja dalam saingan Piala Thomas tapi beberapa lagi kejohanan besar lain.

“Mesti mahu (ketepikan persengketaan) kerana sebagai pemain Malaysia, saya harus membantu negara. Buat masa sekarang paling penting ialah Malaysia,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Jelasnya, sebelum ini memang ada perbincangan antara dia, Wee Kiong, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit dan presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

“Saya pun sudah faham sedikit (kenapa kami perlu digandingkan semula). Saya harap dapat bantu Malaysia layak dan beraksi cemerlang di Piala Thomas.

“Mengenai gandingan baru sebelum ini (bersama Teo Ee Yi), memang tidak boleh buat apa-apa kerana paling penting kami harus dengar dan patuh kehendak BAM.

“Saya juga tidak pasti bila akan mula berlatih semula bersama Wee Kiong dan perlu melihat terlebih dulu program latihan yang akan diatur oleh jurulatih. Semuanya saya serahkan kepada Soon Kit,” katanya yang berjaya meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Wee Kiong.

Ditanya adakah dia menjangkakan akan bergandingan semula bersama Wee Kiong, pemain berusia 28 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui selepas diberitahu oleh Soon Kit dalam satu perjumpaan dan memahami segala yang diterangkan mengenai gandingan semula itu.

“Bagi saya, semua pemain mahu berjaya dan saya pun sama, bergandingan dengan siapa pun saya tidak kisah, paling penting mampu untuk memberikan persembahan pada prestasi paling terbaik,” katanya.

Semalam melalui satu kenyataan, Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai menerangkan bahawa kedua-dua pemain itu perlu digandingkan semula berikutan peraturan baru kejohanan yang ditetapkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

BWF menerapkan peraturan baru untuk 2018, di mana tidak ada lagi pusingan kelayakan bagi kejohanan bertaraf Tahap 2 dan 3, manakala Tahap 4 dan 5, hanya menempatkan 28 pemain di undian utama termasuk lapan di pusingan kelayakan.

BAM tidak mahu mengambil risiko kerana berkemungkinan gandingan baru Wee Kiong-Ong Yew Sin dan V Shem-Ee Yi mungkin tidak akan layak beraksi di kejohanan Tahap 2 dan 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 5:57 PM