PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp. FOTO Agensi
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp. FOTO Agensi
Reuters

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menolak dakwaan kini adalah detik terbaik bertemu Tottenham Hotspur susulan masalah kecederaan tonggak kelab London itu serta isu kecergasan dan prestasi penyerangnya, Harry Kane.

Kane, yang memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak di Piala Dunia 2018 di Russia sudah mengharungi 61 perlawanan dalam kesebelasan utama bersama kelab dan negaranya, England sejak permulaan musim lalu.

Kapten England itu jelas jauh daripada prestasi terbaiknya pada permulaan kempen musim ini dengan Klopp berkata, kejayaan England mara ke separuh akhir Piala Dunia bermakna ramai pemain tidak mempunyai masa yang cukup untuk pulih sepenuhnya.

“Kita semua tahu selepas Piala Dunia, terutama apabila England mara cukup jauh mereka tidak mempunyai rehat yang cukup,” kata Klopp kepada Sky Sport menjelang pertemuan Reds dengan Spurs, esok.

“Kami semua memerlukan rehat. Dia (kane) tidak memperoleh rehat mencukupi, tetapi dia akan kembali mendapatkan semula prestasinya, mungkin pada minggu ini, tetapi dia sudah pun membuktikannya dan bukannya berada dalam keadaan tidak baik.”

Lebih menambah derita Tottenham, mereka turut kehilangan pemain tengah berpengaruh, Dele Alli dan kapten pasukan, Hugo Lloris susulan kecederaan.

Selain itu, isu penangguhan stadium baharu dan kekalahan mengejut kepada Watford sebelum rehat antarabangsa bermakna persiapan Tottenham bertemu Liverpool yang menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris tidak begitu baik.

Begitupun, Klopp percaya skuad kendaliannya akan diuji sepenuhnya oleh Spurs yang memiliki ramai pemain berkualiti yang mampu membarisi kesebelasan utama.

“Jika kami melihat senarai pemain Tottenham, kamu akan mendapati mereka tidak bermasalah untuk menggantikan Dele Alli, Lloris," katanya.

“Mereka tetap pasukan yang amat kuat dan saya tidak fikir ini adalah masa yang sempurna bertemu Tottenham.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:42 PM