KLOPP dilihat berang dengan pengadil. FOTO Reuters
KLOPP dilihat berang dengan pengadil. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Bos Liverpool, Jurgen Klopp mungkin berdepan tindakan disiplin selepas menuduh pengadil berdendam terhadap pasukannya ketika kemenangan dramatik 4-3 ke atas Tottenham, awal pagi tadi.

Jaringan pemain antarabangsa Portugal, Diogo Jota pada masa kecederaan mengesahkan kemenangan di Anfield, hanya 99 saat selepas Spurs menjangkakan gol Richarlison dapat memastikan mereka membawa pulang satu mata selepas pasukan pelawat ketinggalan 3-0.

Klopp, bagaimanapun, sangat marah dengan mutu pengadilan sepanjang perlawanan dan dia dilihat meraikan kemenangan pasukannya secara agresif di hadapan pegawai keempat, John Brooks sehingga mencederakan dirinya sendiri.

Klopp kemudian mengecam pengadil, Paul Tierney.

"Kami ada sejarah dengan Tierney. Saya benar-benar tidak tahu apa yang dia tidak suka terhadap kami. Dia beritahu tidak ada masalah tetapi ia tidak benar.

"Cara dia memandang saya ada yang tidak kena. Sambutan yang saya lakukan sememangnya wajar dipersalahkan, tetapi apa yang dia (Tierney) katakan kepada saya apabila dia memberikan kad kuning adalah tidak OK."

Bos Jerman itu ditanya apa yang dikatakan oleh Tierney dan beliau menjawab: "Saya tidak akan mengatakan apa-apa mengenainya. Pengadil tidak mengatakan apa yang dikatakan, jadi saya tidak akan berkata apa-apa."

Namun kritikan Klopp terhadap Tierney tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya beliau merujuk kepada tindakan pengadil itu ketika Liverpool seri 2-2 di tempat lawan dengan Spurs musim lalu.

"Paul Tierney tidak memberikan Harry Kane kad merah tetapi Robbo (Andy Robertson) mendapat kad merah. Ia bukan kali pertama, banyak kali berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 9:04 AM