KANE (kanan) meraikan jaringannya di Stadium Falmer. FOTO AP
KANE (kanan) meraikan jaringannya di Stadium Falmer. FOTO AP
Reuters

Brighton, England: Brighton & Hove Albion tewas kali pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas tandukan Harry Kane pada babak pertama membolehkan Tottenham Hotspur menang 1-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Antonio Conte kini hanya tiga mata di belakang pendahulu Manchester City manakala Brighton jatuh ke tangga keenam.

Spurs yang kematian jurulatih kecergasan mereka, Gian Piero Ventrone tampak tidak terjejas walaupun Conte agak emosi sebelum sepak mula.

"Ia minggu sukar dan kemenangan ini sedikit menceriakan kami," kata Kane kepada Sky Sports manakala rakan sepasukan Ryan Sessegnon berkata mereka perlu 'pamer aksi terbaik hari ini.'

"Jelas kami mahu menang kerana dia dan berterima kasih di atas apa dilakukannya," kata Sessegnon.

"Ia tempat yang sukar untuk dikunjungi, anda dapat lihat prestasi mereka di Liverpool (seri 3-3 minggu lalu) dan sangat bagus menang di sini serta tanpa bolos. Kami terpaksa bekerja keras."

Spurs berada di depan pada minit ke-22 apabila hantaran Son Heung-min ditanduk masuk Kane untuk gol kelapannya dalam aksi EPL musim ini.

Jurulatih Spurs, Conte meletakkan tiga pemain tengah dengan bekas pemain Brighton, Yves Bissouma banyak mengekang asakan tuan rumah tuan rumah.

Brighton yang memburu gol penyamaan kerap menguji penjaga gol lawan, Hugo Lloris manakala Lewis Dunk danSolly March hampir menjaringkan gol sebelum rehat.

Mereka yang mahu menghadiahkan kemenangan di tempat sendiri kepada jurulatih baharu Roberto De Zerbi semakin garang pada babak kedua dan pelawat juga turut berpeluang menjaringkan gol namun pertahanan kedua-dua pasukan cekal bertahan.

"Saya akui keputusan hari ini tidak adil. Selepas 15 minit pertama hanya ada satu pasukan di atas padang dan ia adalah Brighton," kata De Zerbi.

"Saya tak percaya dengan tuah. Pemain fantastik tetapi apabila satu pasukan beraksi seperti hari ini, ia mesej bagus untuk liga pada masa depan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:25 AM