EE Wei lega berjaya melepasi pusingan ketiga acara beregu wanita dan campuran Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia.
EE Wei lega berjaya melepasi pusingan ketiga acara beregu wanita dan campuran Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia.
Ferzalfie Fauzi


DUA aksi dalam satu hari bukan mudah untuk diharungi namun pemain remaja negara, Toh Ee Wei membuktikan memiliki semangat juang tinggi apabila berjaya melepasi pusingan ketiga acara beregu wanita dan campuran Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia sebentar tadi.

Ee Wei yang berpasangan dengan Ng Eng Cheong dalam acara beregu campuran tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan keempat selepas menumpaskan wakil China, Feng Yanzhe-Chen Yingxue 21-12, 21-9.

Lebih kurang lima jam kemudian, dia yang bergandingan dengan Pearly Tan dalam acara beregu wanita berjaya bangkit selepas tumpas set pertama untuk mencatat kemenangan ke atas Nur Insyirah Khan-Crystal Wong dari Singapura 19-21, 21-8, 21-14.

“Sudah tentu beraksi dua perlawanan dalam sehari memang memenatkan namun saya hanya fokus untuk memungut mata demi mata tidak kira siapa saja lawan yang ditentang. Jika saya betul-betul fokus, kepenatan yang dirasai akan lenyap begitu saja,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Menurut Ee Wei, perlawanan esok dijangka akan lebih mencabar apabila bakal berdepan lawan yang mempunyai status pilihan dan berkualiti berbanding sebelum ini.

“Sudah pasti esok akan lebih mencabar buat kami. Bagaimanapun, saya seperti biasa akan memberikan aksi terbaik di dalam gelanggang,” katanya yang meraih pingat gangsa acara beregu campuran tahun lalu dalam kejohanan sama di Bilbao, Sepanyol.

Sementara itu, dua lagi pasangan campuran negara, Chang Yee Jun-Pearly Tan dan Man Wei Chong-Tan Sueh Jeou turut menempah slot ke pusingan keempat selepas tidak berdepan masalah menumpaskan lawan masing-masing.

Yee Jun-Pearly yang diletakkan sebagai pilihan ke-13 berjaya menumpaskan Callum Hemming-Hope Warner dari England 21-18, 21-12, manakala Wei Chong-Sueh Jeou menundukkan wakil Perancis serta pilihan keenam, Thom Gicquel-Vimala Heriau 21-15, 24-22.

Sementara itu, juara remaja Asia, Leong Jun Hao mudah mara ke pusingan kelima selepas menumpaskan Johnnie Torjussen dari England 21-8, 21-14 dan pilihan keempat itu bakal berdepan Leo Rossi dari Perancis esok.

Turut mara juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei yang menumpaskan Catherine Choi dari Kanada 21-14, 21-13 dan akan menentang wakil Indonesia, Choirunnisa Choirunnisa esok.

Seorang lagi perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan turut mara selepas menumpaskan pilihan ke-13 dari Taiwan, Huang Yin Hsuan 20-22, 21-18, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:02 PM