AKSI Pearly dan Thinaah ketika menentang beregu Jepun.
AKSI Pearly dan Thinaah ketika menentang beregu Jepun.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perjuangan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham, Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Badminton Dunia dekat Tokyo berakhir di pusingan ketiga, hari ini.

Diletakkan selaku pilihan ke-10, beregu utama wanita negara itu nyata tidak mempunyai jawapan untuk menghalang gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Pilihan kelima kejohanan itu menewaskan Pearly-Thinaah 21-16, 21-16 pada perlawanan yang berlangsung selama 44 minit itu.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menepati ramalan untuk mara ke suku akhir.

Pasangan negara yang diletakkan selaku pilihan kelapan itu nyata tidak berdepan masalah menewaskan gandingan bukan pilihan dari Jepun, Khoyei Yamashita-Naru Shinoya 21-12, 21-14 di pusingan ketiga, hari ini.

Bagaimanapun tugas berat menanti Kian Meng-Pei Jing di suku akhir esok apabila bakal bertemu pilihan utama, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Pasangan dari China itu terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-9, 19-21, 21-19 dalam tempoh 49 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 5:14 PM