Fadhli Ishak


Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) masih belum menerima sebarang maklumat tambahan mengenai kes doping membabitkan Hafifi Mansor daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan sehingga penjelasan diterima daripada badan dunia itu.

“Saya sudah menghubungi IWF mengenai perkara ini, bagaimanapun peguam daripada jawatankuasa Anti-Doping IWF yang menguruskan kes ini tidak berada di situ buat masa ini,” kata Poh Eng.

“Saya sudah meminta mereka menghubungi kami semula dengan maklumat terperinci mengenai kes itu dan berharap kami akan mendapat maklum balas secepat mungkin.”

Difahamkan, peguam yang bertanggungjawab mengenai kes itu kini sedang bercuti.

Buat sementara waktu, IWF menggantung Hafifi berikutan ujian positif bahan terlarang - anabolic steroid oxymetholone ketika kejohanan di Melbourne, Mac lalu. Bagaimanapun, tidak diketahui mengapa badan induk itu mengambil masa hingga tujuh bulan membuat keputusan itu.

Penggantungan sementara itu hanya dimuatkan dalam laman rasmi IWF, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 6:20 PM