Fadhli Ishak


SEPERTI dijangka, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan sampel B Hafifi Mansor (gambar) akan diuji.

Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail berkata, Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sudah dimaklumkan mengenai keputusan untuk menguji sampel B dan pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada badan induk itu.

Minggu lalu, IWF menggantung Hafifi selepas atlet negara itu didapati positif penggunaan bahan terlarang - anabolic steroid oxymetholone ketika kejohanan yang berlangsung awal tahun ini.

“Kami sudah mengesahkan kepada IWF, kami mahu sampel B Hafifi untuk diuji,” kata Hanapah ketika dihubungi, hari ini.

“Sampel B itu akan diuji di sebuah makmal di Sydney kerana sampel diambil ketika pertandingan berlangsung di Australia.

“Kami juga sudah menerima pengesahan sampel itu diambil ketika Terbuka Australia yang berlangsung di Melbourne, Mac lalu.

“Namun, kami tidak tahu tarikh sampel B akan diuji dan kami sedang menunggu maklumat lanjut IWF.”

Ketika ini, kos yang tinggi membabitkan ujian sampel B menjadi isu kepada PABM kerana dipercayai mampu mencecah ribuan ringgit, termasuklah kos perjalanan untuk menyaksikan ujian itu dilakukan.

Hanapah turut menyatakan MWF akan meminta bantuan daripada Persekutuan Angkat Berat Australia (AWF) berhubung situasi terbabit.

“Kami belum pasti sama ada Hafifi sendiri ataupun pegawai MWF yang akan ke Sydney untuk menyaksikan ujian itu.

“Berkemungkinan kita akan cuba meminta bantuan daripada AWF, sama ada mereka boleh mewakili kami ketika ujian itu dilangsungkan.”

Jaguh angkat berat negara itu berdepan penggantungan empat tahun jika dia didapati positif selepas sampel B dijalankan.

Bukan saja digantung, namun pingat emas yang diraih olehnya pada kejohanan itu juga akan ditarik semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 6:26 PM