ABU Hanapah tak mahu atlet angkat berat terpalit isu doping.
ABU Hanapah tak mahu atlet angkat berat terpalit isu doping.
Haika Khazi

Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bercadang mengenakan hukuman berganda kepada atletnya yang didapati positif ujian doping.

Pemangku setiausahanya, Abu Hanapah Ismail berkata, jika sebelum ini atlet yang kantoi hanya dikenakan hukuman penggantungan daripada badan induk antarabangsa, tetapi PABM bercadang turut mengenakan denda.

“Denda ini antara cadangan yang kami fikirkan dalam usaha memastikan tiada lagi kes doping dalam angkat berat.

“Malah, kami akan terus menganjurkan seminar pendidikan kepada atlet dengan kerjasama Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dalam usaha menyedarkan mereka mengenai risiko dan bahaya penyalahgunaan bahan larangan,” katanya.

Peningkatan atlet angkat berat yang terbabit dalam kes doping menjadi antara faktor utama sukan itu digugurkan daripada sukan teras, bulan lalu.

Kes terbaru membabitkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014, Hafifi Mansor yang digantung sementara oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas dikesan positif menggunakan oxymetholone ketika Terbuka Australia, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:09 AM