Fadhli Ishak dan Naqib Nor Said


WALAUPUN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) masih belum membuat pengumuan rasmi tetapi atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor (gambar) mengaku dia gagal ujian doping sampel B.

Hafifi pada awalnya mengelak untuk memberikan komen berhubung isu berkenaan tetapi tidak lama kemudian, dia secara terbuka memberitahu pihak media mengenai keputusan ujian sampel B ketika Majlis Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2016, malam tadi.

“Saya pasti akan digantung, ia (keputusan) tidak memihak kepada saya,” kata Hafifi ketika ditanya mengenai ujian sampel B miliknya.

“Saya terpaksa lupakan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia tahun depan. Harapan saya kini adalah hukuman penggantungan ke atas saya dapat dipendekkan kepada kurang empat tahun.

“Saya dimaklumkan bahawa Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk saingan Kejohanan Dunia dan turut membincangkan perkara ini dengan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

“Dos bahan terlarang dalam badan saya agak tinggi, diharapkan beliau dapat membantu saya untuk mengurangkan tempoh penggantungan,” katanya.

Hafifi bagaimanapun tetap menafikan bahawa dia pernah menggunakan sebarang bahan terlarang dalam kerjayanya.

Dia didapati positif menggunakan anabolic steroid oxymetholone ketika saingan Terbuka Australia, Mac lalu tetapi keputusan mengenainya hanya diumumkan IWF pada Oktober lalu.

Ujian ke atas sampel B miliknya dijalankan awal bulan ini.

“Saya fikir ada sesuatu yang tidak kena, sampel diambil pada Mac dan hanya diumumkan pada Oktober. Saya tidak pernah mengambil bahan terlarang.

“Angkat berat adalah hidup saya sejak kecil lagi. Saya duduk di Bukit Jalil (Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Majlis Sukan Negara) sejak usia saya 13 tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 6:30 PM