ATLET angkat berat negara, Hafifi Mansor. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ATLET angkat berat negara, Hafifi Mansor. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Aida Adilah Mat

 

ATLET angkat berat, Hafifi Mansor menafikan yang dia digantung empat tahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana menggunakan bahan terlarang.

Pemenang pingat emas temasya Komanwel Glasgow 2014 itu berkata, hingga setakat ini hukuman terhadapnya masih tergantung dan belum ada sebarang keputusan malah dalam laman web rasmi IWF juga tidak tertera sebarang tindakan yang dijatuhkan kepadanya.

Hafifi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan laporan dari media yang memaklumkan dia digantung adalah tidak benar sama sekali.

“Saya sudah menghubungkan PABM (Persatuan Angkat Berat Malaysia) untuk meminta penjelasan dan bukti mengatakan saya digantung empat tahun,” kata Hafifi.

“PABM gagal menyerahkan bukti berkenaan malah salah seorang daripada jawatankuasa PABM memaklumkan surat penggantungan ada di dalam email persatuan namun dia terlupa kata laluan.

“Mana mungkin boleh terlupa kata laluan sedangkan dia bukan orang baru dalam PABM. Nampak seperti ada pembohongan di situ.”

Hafifi berdepan hukuman maksimum selama empat tahun selepas disahkan menggunakan bahan terlarang, oxymetholone, semasa Kejohanan Angkat Berat Terbuka Australia pada Mac 2017. Sampel B yang diuji terhadapnya juga didapati positif.

Sebelum ini berita yang disiarkan oleh stesen televisyen berbayar menerusi bekas Presiden PABM Datuk Ong Poh Eng, mengesahkan Hafifi digantung empat tahun bermula November lalu.

Namun Hafifi menjelaskan, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan pihak persatuan seharusnya memanggilnya untuk membuat pembelaan.

Jawatankuasa pendengaran perlu ditubuhkan untuk menjalankan siasatan dan hingga kini masih lagi menunggu tindakan dari PABM.

“Saya mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin dan jangan biar ia tergantung seperti ini. Saya masih mahu mewakili negara dan kudrat saya masih mampu untuk berbakti kepada Malaysia,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 8:23 PM