ZAIDATUL kini fokus kepada latihan dan pelajaran di UPM.
ZAIDATUL kini fokus kepada latihan dan pelajaran di UPM.
Mohd Khairie Khalid


MESKIPUN sudah meraih pingat perak dalam acara tumpuan pecut 100 dan 200 meter wanita di peringkat Asia Tenggara namun Zaidatul Husniah Zulkifli tetap bersikap merendah diri.

Olimpian berusia 24 tahun itu secara jujur mengakui teknik larian dan staminanya masih belum cukup hebat, justeru tumpuan lebih perlu dilakukan ketika melakukan latihan.

Baginya teknik larian dan stamina menjadi antara dua perkara utama dalam usaha memburu tempat ke Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia tahun depan.

“Selepas Sukan SEA, fokus saya terarah kepada latihan dan pelajaran untuk semester ini di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kalau ikutkan jurulatih (M Balamurugan) saya juga perlu baiki teknik larian dan stamina. Ini kerana fokus saya tahun depan adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” kata Zaidatul ketika disoal perancangan jangka pendek dalam bidang sukan dan pendidikan.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu, Zaidatul menamatkan saingan 100m di tempat kedua yang diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada tanggal 20 Ogos 1993.

Dia tetap berpuas hati dengan pencapaian itu (11.74s) berbanding edisi lalu walaupun matlamat untuk menjadi wanita terpantas di rantau Asia Tenggara masih tidak kesampaian.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara pecut 100m wanita adalah di Sukan SEA Jakarta 1997 menerusi G Shanti.

Zaidatul turut memenangi pingat perak acara 200m wanita dengan catatan masa 23.64s.

Dia pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio dan mencatat 12.12s pada pusingan kelayakan tetapi gagal mengekalkan catatan itu pada aksi saringan pusingan pertama apabila hanya melakukan catatan 12.62s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:16 PM