PELUMBA dari pasukan Oliver's Real Food Racing (OLI), Brendon Davids (tengah) berjaya mengekalkan jersi kuning sebagai jersi individu terbaik keseluruhan manakala pelumba TSG, Nur Amirull Fakharuddin Mazuki (dua dari kiri) mengekalkan jersi hijau sebagai jersi raja pecut serta pelumba dari pasukan OLI, Ryan Thomas (kanan) mengekalkan jersi kelabu sebagai jersi pelumba muda dan jersi merah sebagai jersi pelumba terbaik negara masih dipegang Zawawi (kiri) dan jersi polka dot sebagai jersi raja bukit disandang Perez Munoz (dua dari kanan) pada peringkat keempat JM2017. FOTO/AMRAN HAMID

Azlan Muhammad Zain dan Fadhli Ishak

SEMUANYA nampak sempurna dan lancar pada perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) edisi ke-53 yang berakhir di Alor Setar semalam.

Pelumba dan pasukan tempatan mempamerkan dominasi dengan memenangi peringkat perlumbaan dan jersi selepas ketiadaan dua pasukan utama, Pishgaman Cycling Team dari Iran dan KSPO dari Korea Selatan yang menarik diri pada saat akhir.

Terengganu Cycling Team (TSG) memenangi tiga peringkat perlumbaan manakala Team Sapura Cycling (TSC) yang baru ditubuhkan hujung tahun lalu memenangi satu peringkat iaitu di Gunung Jerai menerusi pelumbanya dari Colombia, Wilmar Jahir Perez Munoz sekali gus muncul pasukan terbaik keseluruhan.

Malah dia turut memenangi gelaran Raja Bukit selain rakan sepasukan Zawawi Azman muncul pelumba terbaik Malaysia. Pelumba TSG Nur Amirull Fakharuddin meraih jersi Raja Pecut.

Malah dari segi penganjuran yang diuruskan LifeProFit Sdn Bhd buat kali pertama, tiada sebarang masalah besar membabitkan saingan lima peringkat perlumbaan yang bermula di Shah Alam dan berakhir di Alor Setar sejauh 682.80 kilometer.

Bagaimanapun JM2017 hanya akan “lulus” dengan cemerlang sekiranya tiada masalah timbul selepas berakhirnya perlumbaan termasuk membabitkan hadiah kemenangan pelumba, bayaran kontraktor, elaun petugas dan sebarang kos lain diselesaikan dengan sempurna.

Beberapa edisi JM sebelum ini menimbulkan masalah terutamanya membabitkan hadiah kemenangan pelumba hingga dibangkitkan dan mendapat perhatian media.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JM2017, Noraidiazhar Sulaiman bagaimanapun mengulangi janjinya untuk menyelesaikan semua bayaran dalam tempoh sebulan.

“Kami sudah melunaskan 80 peratus bayaran kepada kontraktor yang terbabit dengan bakinya akan dijelaskan dalam tempoh sebulan.

“Begitu juga dengan hadiah kemenangan pelumba akan diserahkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam tempoh sebulan bergantung kepada keputusan doping,” katanya.

Edisi ke-53 kali ini menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM166,000 kepada pelumba dengan kos keseluruhan RM3.8 juta, penjimatan hingga RM700,000 berbanding kos jangkaan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 2:42 PM