Jin Wei juga tidak berupaya tewas tiga set. FOTO HM
Jin Wei juga tidak berupaya tewas tiga set. FOTO HM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat Malaysia untuk muncul juara acara berpasukan campuran di Kejohanan Badminton Remaja Dunia tidak kesampaian apabila tumpas 0-3 kepada juara bertahan, China di Bilbao, Sepanyol, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad remaja negara hanya mengulangi pencapaian 2009 apabila tumpas kepada lawan dan keputusan yang sama di Alor Setar, Kedah.

Skuad remaja negara yang pernah muncul juara dan menjulang trofi Piala Suhandinata pada 2011 tumpas pada aksi pembukaan apabila pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-M Thinaah kalah 21-17, 13-21, 12-21 kepada He Jiting-Du Yue.

Hasrat skuad remaja negara untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila perseorangan lelaki Leong Jun Hao kalah kepada Sun Feixiang 15-21, 13-21 dalam aksi yang berlangsung selama 40 minit.

Penyandang juara remaja dunia, Goh Jin Wei cuba untuk menyelamatkan maruah negara namun terpaksa akur dengan kehebatan Chen Yufei selepas tumpas 20-22, 21-14, 8-21.

Selepas ini, kesemua pemain negara akan berentap bagi acara individu (perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki, wanita serta campuran) yang bermula hari ini hingga 13 November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 1:06 AM