KENNY Pallraj (tengah) menjaringkan gol ketiga Perak. - Foto MUHAIZAN YAHYA
KENNY Pallraj (tengah) menjaringkan gol ketiga Perak. - Foto MUHAIZAN YAHYA
BERNAMA

TIDAK mengenal erti putus asa menjadi kunci utama kejayaan Perak membenam Pahang 4-0 pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata, setiap pemain wajar diberi pujian kerana mempamerkan aksi konsisten walaupun sedar berdepan tugas sukar memadam defisit 1-3 yang dimiliki skuad Tok Gajah berikutan suku akhir pertama di Kuantan 16 September lalu.

“Bagi saya suku akhir kedua ini antara aksi terbaik pemain sepanjang kempen Piala Malaysia,” katanya malam tadi.

Kemenangan 4-0 skuad The Bos Gaurus diperoleh melalui dua jaringan penyerang import dari Brazil, Gilmar manakala dua lagi masing-masing oleh Kenny Pallraj dan Nazrin Nawi.

NAZRIN meraikan gol keempat The Bos Gaurus. - Foto MUHAIZAN YAHYA
NAZRIN meraikan gol keempat The Bos Gaurus. - Foto MUHAIZAN YAHYA

“Jaringan itu juga sedikit sebanyak merentap semangat dan moral pemain Pahang untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki,” kata Durakovic.

Mengulas aksi separuh akhir pertama menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak 14 Oktober depan, Durakovic percaya anak didiknya mampu melakar kejutan.

“Kami akan beri yang terbaik dalam aksi separuh akhir itu nanti walaupun diketahui Johor DT antara pasukan terbaik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi berkata, kealpaan pemain dan kelonggaran di beberapa posisi menjadi punca kekalahan skuad kendaliannya di tangan Perak.

“Pemain mungkin rasa selesa dengan kemenangan tempoh hari hingga menyebabkan mereka gagal fokus dan mengikut perancangan yang diatur sebelum perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 2:56 PM