KANE tidak mahu memori kekalahan di tangan Perancis hantui pasukan.
KANE tidak mahu memori kekalahan di tangan Perancis hantui pasukan.
AFP

London: Memori mengenai kekalahan England hasil aksi sempurna bintang Perancis, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele masih segar dalam ingatan Harry Kane ketika pemain itu mahu membantu pasukannya layak ke Piala Dunia.

England berada di landasan tepat untuk ke pusingan akhir di Russia menjelang pertemuan menentang Malta di Ta’Qali, tetapi keputusan perlawanan persahabatan sebelum ini membuktikan mereka masih belum benar-benar gagah.

Jun lalu, kecemerlangan Mbappe dan Dembele membolehkan Perancis mengatasi England 3-2 di Stade de France, tetapi Kane tidak menjadikan kekalahan itu sebagai sesuatu yang boleh menyekat perjalanan pasukannya.

“Saya tidak fikir kekalahan itu akan terus menghantui kami,” kata penyerang Tottenham Hotspur itu.

“Kami hanya tewas 2-3. Kami bermain dengan 10 orang pada sebahagian besar perlawanan. Saya tidak fikir kami bermain terlalu buruk.

“Kami mungkin hanya ketinggalan sedikit saja. Perancis memang bagus dan dipenuhi pemain berbakat, tetapi kami juga begitu.

“Perkara paling penting buat kami ialah kami perlu layak ke Piala Dunia dan kami mampu melakukannya dalam tempoh dua perlawanan lagi. Kami perlu mula bersiap sedia.”

England memiliki kelebihan dua mata di persada Kumpulan F dan mampu menjarakkan diri jika menang ke atas pasukan kerdil, Malta dan menewaskan pesaing utama, Slovakia di Wembley, Selasa nanti.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu mampu semakin hampir untuk ke pusingan akhir jika tidak disebabkan apa yang berlaku ketika menentang Scotland, Jun lalu dan Kane menghasilkan jaringan pada lewat permainan untuk mengikat kedudukan 2-2.

Selain seri di Hampden, England hanya menang sekali sepanjang lima perlawanan terakhir.

Mereka tewas di tangan Perancis, tewas 0-1 di tangan Jerman dan seri 2-2 dengan Sepanyol. -

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:27 AM