BECKHAM kini mengalas tugas sebagai sebagai Duta Muhibah UNICEF. -FOTO AFP
BECKHAM kini mengalas tugas sebagai sebagai Duta Muhibah UNICEF. -FOTO AFP
AFP

Mumbai: David Beckham berkata bintang muda England mempunyai "peluang terbaik" menamatkan penantian negara itu selama beberapa dekad untuk merangkul trofi utama pada kejohanan Euro 2024 tahun depan di Jerman.

Bekas kapten England itu memenangi pelbagai pingat dalam karier bersama kelab tetapi gagal menjulang piala di peringkat antarabangsa walaupun bermain dalam pasukan yang ramai pemain bakat.

Pasukan Gareth Southgate yang menghuni ranking keempat Fifa, mempunyai rekod yang baik baru-baru ini di kejohanan utama tetapi England belum mengecap kejayaan sejak memenangi Piala Dunia 1966 di tanah air sendiri.

Mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia di Russia pada 2018 dan berdepan kekalahan memeritkan kepada Itali menerusi sepakan penalti ketika perlawanan akhir Kejohanan Eropah di Wembley tiga tahun kemudian.

Manakala barisan pemain Southgate yang tewas kepada Perancis di suku akhir Piala Dunia tahun lalu di Qatar, sudahpun mengesah tempat ke pusingan akhir Euro 2024 dengan baki dua perlawanan lagi, menentang Malta dan Macedonia Utara.

Pasukan itu kini mempunyai barisan pemain bakat terutama di bahagian serangan seperti bintang Real Madrid, Jude Bellingham, 20, dan Harry Kane yang menikmati musim prolifik di Bayern Munich.

"Saya sangat percaya dengan pasukan England ini," kata Beckham, 48.

"Saya percaya pada Gareth Southgate dan apa yang dia lakukan dan yang sudah dia lakukan selama beberapa tahun kebelakangan ini.

"Nasib kami tidak baik tewas di perlawanan akhir Euro menentang Itali tetapi kami begitu hampir. Dan saya melihat bahawa apabila pasukan kebangsaan kita mempunyai beberapa jenis kejayaan, cara kita bersatu adalah luar biasa."

Bekas pemain tengah Manchester dan Real Madrid itu yang melawat India dalam peranannya sebagai Duta Muhibah UNICEF, berkata: "Saya tidak mahu bercakap terlalu awal, tetapi Euro 2024, saya fikir kita mempunyai peluang sebenar dengan pemain muda seperti Cole Palmer, Jude Bellingham, dan pemain lain yang kami ada dalam pasukan.

"Dan sudah tentu, anda tahu, kami mempunyai kapten seperti Harry Kane yang masih terus memberi inspirasi kepada pasukannya dan masih terus menjaringkan gol. Jadi saya rasa kami mempunyai peluang yang sebenar."

England menerima kunjungan Malta pada hari Jumaat sebelum menentang Macedonia Utara di tempat lawan tiga hari kemudian tetapi mahu menamatkan saingan dengan bergaya kerana menyasarkan untuk mendapatkan pilihan terbaik dalam undian peringkat kumpulan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 7:48 AM