TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad  Zahid Hamidi (kiri hadapan) bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan hadapan) bergambar bersama Afifi (tengah) selepas meraih pingat emas acara pencak silat kategori jurus tunggal lelaki, semalam.

Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Silat menambah satu lagi kilauan emas buat kontinjen negara menerusi Muhammad Afifi Nordin mengungguli kategori seni tunggal lelaki di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Afifi memastikan emas ketiga daripada skuad silat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas meraih 470 mata untuk mengatasi pesilat Indonesia, Sugianto (462 mata) yang memenangi perak.

Sementara itu, pesilat Thailand yang mengumpul 457 mata sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

Afifi yang juga anak jati Temerloh, Pahang berkata emas itu hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

“Bagi rakyat Malaysia, pingat ini hadiah untuk semua.

“Isteri saya juga sedang mengandung kira-kira dua bulan dan saya anggap kejayaan ini sebagai rezeki anak sulung saya itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu, lima pesilat negara termasuk Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Shazwana Ajak, Muhammad Robial Sobri, Mohd Fauzi Khalid dan Mohd Khaizul Yaacob melepasi pusingan separuh akhir dalam kategori tanding bagi kelas masing-masing untuk bersaing merebut pingat emas pada final, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 11:13 AM