SESI penerangan kejohanan di  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, kelmarin.
SESI penerangan kejohanan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, kelmarin.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri 2016 selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini mendapat sambutan luar dugaan apabila berjaya menarik sejumlah 55 pasukan dari dalam dan luar negara yang berlangsung di Square One Shopping Mall, Batu Pahat, Johor.

Kejohanan yang sudah memasuki edisi ketujuh itu mendapat penyertaan cukup memberangsangkan apabila disertai 870 peserta dengan 42 pasukan tempatan dan 13 pasukan luar yang sudah ‘berkampung’ di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sejak kelmarin.

Menurut Pengarah Kejohanan Profesor Madya Dr Mohamad Yusri Aman, saingan kali ini berjaya mencapai objektif iaitu untuk mengumpulkan seberapa banyak pasukan di Malaysia dan rantau ini sekali gus mengembalikan kehangatan sukan tempur itu.

“Dengan sambutan dan penyertaan sungguh menggalakkan saya percaya acara ini akan menjadi platform untuk menarik minat anak muda mengenali seni mempertahankan diri yang amat sinonim dengan pahlawan Melayu suatu ketika dulu.

“Kejohanan ini juga bukan pertama malah sudah memasuki tahun ketujuh penganjurannya dan mendapat pujian dan reaksi positif dari pelbagai pihak sebelum ini.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada semua pasukan terbabit dan menghargai usaha semua pihak dalam menjayakan kejohanan ini dan mengharapkan ia berjalan dengan lancar,” katanya semalam.

Pada edisi tahun lalu di Kuantan, Malaysia mengungguli kejohanan itu hasil kejayaan kontinjen negara menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan bagi kategori antarabangsa.

Empat pesilat negara juga dinobat pesilat terbaik keseluruhan terdiri daripada Muhammad Faizul M Nasir, 27, dari Univesiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kategori Pesilat Terbaik Putra Antarabangsa manakala Pesilat Terbaik Putri Antarabangsa dimenangi Siti Shazwana Ajak, 23, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penuntut Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang) Muhamad Zarish Hakim, 23, dan wakil Universiti Malaya (UM), Normanjalina Madon, 24, dipilih sebagai Pesilat Terbaik Putra dan Putri bagi kategori IPT Tempatan Terbaik.

Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan UTHM dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM8,000 dan piala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:27 AM