GRACE bersama pingat emas yang dimenangi beliau dalam acara baling tukul besi wanita. -Foto OSMAN ADNAN
GRACE bersama pingat emas yang dimenangi beliau dalam acara baling tukul besi wanita. -Foto OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat dan Firdaus Hashim


SKUAD olahraga negara meneruskan langkah cemerlang pada hari ketiga acara olahraga apabila menghadiahkan satu lagi pingat emas dalam acara baling tukul besi wanita menerusi Grace Wong.

Kejayaan Grace itu juga meneruskan legasi keluarganya selepas bapa saudaranya Wong Tee Kui menghadiahkan emas dalam acara yang sama pada 2001.

Atlet berusia 17 tahun itu melakukan catatan 59.64 meter (m) untuk emas pada balingan pertama sekali gus memecahkan rekod temasya yang dilakukan oleh Mingkamon Koomphon dari Thailand, 56.57m di Singapura dua tahun lalu.

Grace mencatatkan kemenangan selesa apabila jauh meninggalkan juara bertahan Mingkamon, 56.15m dan seorang lagi atlit Thailand, Panwat Gimsrang, 54.88m, masing-masing untuk perak dan gangsa.

Bagi Grace, kejayaan itu memang sudah diduga malah dia diletakkan dalam senarai atlet yang mampu menyumbangkan emas kepada negara berdasarkan pencapaiannya melakarkan rekod kebangsaan, 60.99m ketika di Kejohanan Jeollanamdo, April lalu.

“Saya tidak terkejut sebab memang sudah disasarkan. Emas ini cukup bermakna kerana saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini kerana saya bermula dengan lontar peluru,” katanya.

Ditanya sama ada Tee Kui berkongsi pengalaman dengannya, Grace berkata, antara nasihat yang diberikan adalah tidak berputus asa dan positif dapat melakukan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:52 PM