GRACE ketika acara akhir lontar tukul besi pada Sukan Sea 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. FOTO Hairul Anuar Rahim
GRACE ketika acara akhir lontar tukul besi pada Sukan Sea 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada apa yang perlu dikecewakan atlet baling tukul besi wanita, Grace Wong mengenai pencapaiannya tahun ini walaupun hanya mara ke final Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Berjaya menempah slot ke saingan akhir di temasya empat tahun sekali itu juga adalah satu pencapaian buat atlet kelahiran Sarawak itu yang dicalonkan dalam kategori atlet wanita terbaik Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

Sebelum ke Birmingham, atlet berusia 22 tahun itu sudah membuktikan bahawa 2022 adalah tahun kebangkitannya apabila memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 62.48 meter (m) yang dicipta pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia April lalu.

Sebulan kemudian dia merampas semula emas Sukan Sea di Hanoi selepas melakukan balingan 57.13m bagi membuktikan bahawa dia masih lagi jaguh Asia Tenggara walaupun terlepas emas di temasya sama pada 2019 (Manila).

Grace yang juga pemenang emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 meneruskan momentum tahun ini dengan sempurna sebaik pulang dari Birmingham apabila berjaya menghadiahkan emas kepada kontinjen Sarawak di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Apa pun pencapaian dan prestasi Grace tahun ini sudah cukup untuk memberikannya motivasi terbaik terutama bagi mempertahankan emas Sukan Sea di Kemboja tahun depan dan beraksi cemerlang di Sukan Asia di China.

Grace juga dalam usaha mengikut jejak bapa saudaranya, Wong Tee Kui yang juga legenda atlet baling tukul besi negara yang meraih emas di Sukan Sea 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001.

Tidak hairanlah apabila Grace memenangi pingat emas di di Hanoi pada tahun ini, pemerhati sukan negara mulai sedar akan persamaan yang wujud di antara Tee Kui dan gadis yang diberi panggilan 'Amazing Grace' ini.

"Saya perlahan-lahan bergiat dalam sukan olahraga di bangku sekolah rendah disebabkan saiz badan saya.

"Badan saya lebih besar berbanding rakan-rakan sekolah yang lain dan cikgu saya pada waktu itu ingin membantu saya pergi lebih jauh. Saiz badan ini adalah satu kelebihan, kata mereka. Jadi, ibu bapa pun membenarkan saya menyertai olahraga menerusi acara lontar peluru," katanya.

Kepada pembaca yang masih belum melakukan undian dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 9:16 PM