GRACE masih lagi dalam proses pemulihan.
GRACE masih lagi dalam proses pemulihan.
Mohd Khairie Khalid


ATLET baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei dilihat seolah-olah tidak mahu terlalu memikirkan mengenai dua temasya besar tahun depan, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Ini kerana, pemegang rekod Sukan SEA ini turut mempunyai ujian besar menjelang 2018 apabila bakal berjuang untuk menghadapai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) - yang dianggap cabaran paling penting dalam hidupnya.

Grace mengakui, ketika ini dia sekadar melakukan latihan ringan bagi memastikan dirinya sentiasa cergas gara-gara dibelenggu kecederaan di pergelangan kaki kiri.

“Sebenarnya saya masih belum tahu sama ada dapat beraksi untuk Sukan Komanwel dan Asia kerana saya ada mengalami kecederaan. Tak boleh nak lakukan latihan berat.

“Selain menjalani pemulihan, saya pun sedang fokus belajar kerana saya juga akan menduduki peperiksaan SPM, itu pun penting untuk saya selain dua temasya tahun depan,” kata Grace ketika mengulas mengenai perancangan tahun depan.

Sebagai rekod, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalil itu mencipta khabar gembira apabila memenangi pingat di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu.

Lebih mengujakan, Grace memperbaharui rekod temasya apabila melakukan catatan 59.24 meter (m) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rekod lama temasya sebelum ini adalah 56.57m milik atlet Thailand, Mingkamon Koomphon yang dilakukan pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 4:45 PM