Atlet tukul besi negara, Grace Wong. FOTO File NSTP
Atlet tukul besi negara, Grace Wong. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas hanya berlatih dan beraksi di kejohanan dalaman, Grace Wong seakan melepas geram apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan baling tukul besi wanita dengan catatan 62.48 meter (m) di Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia hari ini.

Kejayaan itu setidak-tidaknya mengubati kekecewaan atlet kelahiran Sarikei, Sarawak apabila apabila balingan sejauh 62.69m dalam sesi ujian latihan November lalu tidak dikira kerana ia sekadar kejohanan dalaman.

"Saya rasa gembira hari ini dan teruja kerana akhirnya berjaya beraksi di kejohanan kompetitif serta memecahkan rekod kebangsaan secara rasmi," katanya yang memadam rekod lama 60.99m yang dilakukan di Korea Selatan pada 2017.

Ujar atlet berusia 21 tahun itu, kejayaan yang dilakar seolah-olah seperti melepas geram apabila tertekan kerana lebih banyak menghabiskan masa dengan latihan dan tidak dapat ke luar negara menyertai mana-mana kejohanan.

Pingat perak dalam acara berkenaan diraih Nurul Hidayah Lukman yang melakukan balingan 49.98m, manakala Winnie Eng berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat 17.95m.

"Sekarang saya berasa sedikit lega dan hanya menunggu untuk kejohanan lain pula selepas ini. Saya akan kembali menyambung latihan dan berjanji akan terus memberikan aksi terbaik.

"Saya rasa ini juga adalah sebahagian daripada persiapan ke Sukan Sea Vietnam dan melalui catatan yang dilakar saya sudah melayakkan diri ke temasya berkenaan. Saya juga ingin merampas semula emas yang diraih di Kuala Lumpur 2017," katanya.

Pada Sukan Sea 2019 di Filipina, Grace terpaksa akur dengan kehebatan atlet Thailand, Mingkamon Koomphon yang meraih emas dengan catatan 55.9m beza 0.17m dengan catatan yang dilakukannya.

ARSYAD (tiga kiri) muncul juara 100m GP Malaysia. FOTO NSTP
ARSYAD (tiga kiri) muncul juara 100m GP Malaysia. FOTO NSTP

Turut mencuri tumpuan semalam ialah persaingan dalam 100m lelaki apabila emas diraih Arsyad Md Saat selepas mengetepikan pelari berpengalaman Jonathan Nyepa.

Arsyad melakukan catatan 10.64s lebih pantas 0.6s berbanding Jonathan, manakala gangsa pula diraih Azeem Fahmi yang melalukan larian 10.85s.

Dalam acara 100m wanita, emas berjaya dirangkul Azreen Nabila Alias yang melakukan catatan 12s, mengetepikan S Komalam 12.01s, manakala gangsa milik Siti Fatima Mohamad (12.12s).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 8:03 PM