FARAH Ann beraksi dalam kategori senaman lantai wanita dalam acara gimnastik artistik wanita. -Foto  MUHAIZAN YAHYA
FARAH Ann beraksi dalam kategori senaman lantai wanita dalam acara gimnastik artistik wanita. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Syafiq Aznan


TIGA biji kek dengan tiga perisa berlainan menyambut kemenangan gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi selepas dia berjaya mempertahankan pingat emas acara senaman lantai pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, dia terlalu mengidamkan tiga jenis kek terbabit dan terus menghubungi kakaknya untuk mendapatkan kek berkenaan bagi menikmati kejayaannya menghadiahkan dua emas buat kontinjen negara.

“Selepas meraih emas, saya mahukan sesuatu yang manis untuk dinikmati bersama rakan sepasukan yang lain, jadi saya meminta kakak mendapatkan kek ‘Chocolate Indulgence’, ‘White Chocolate Macadamia’ dan juga ‘New York Cheese.’

“Selepas menikmati kek itu, saya mahu melupakan seketika aktiviti di gelanggang dan menghabiskan masa bersama keluarga tersayang dengan bercuti sebelum memikirkan semula perancangan selepas ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Farah mempertahankan emas selepas mengutip 13.450 mata. Perak milik atlet Filipina Kaitlin Cera Lianne yang mencatatkan 13.025 mata manakala Rifda Irfanaluthfi dari Indonesia meraih gangsa dengan catatan 13.000 mata.

Ia emas kedua yang disumbang Farah selepas dia turut merangkul emas dalam acara gimnastik artistik berpasukan sebelum ini.

Mengulas lanjut persembahan emasnya, pemilik tubuh berketinggian 165 sentimeter itu berkata, dia gembira selepas berjaya memperagakan persembahan terbaik meskipun masih terkesan dengan kecederaan dialaminya.

“Tetapi saya berada dalam keadaan yang terbaik kerana ketika memasuki gelanggang, kita sudah tidak menghiraukan perkara lain kerana apa yang penting, kita menetapkan fokus bagi mencapai sasaran.

“Memang begitu manis kerana saya berjaya mempertahankan pingat emas, lebih-lebih lagi di hadapan penyokong sendiri.

“Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kejayaan atlet gimnastik artistik pada temasya kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 5:08 PM