KIM Swee (tengah) memantau sesi latihan skuad bawah 22 tahun.  FOTO Asyraf Hamzah
KIM Swee (tengah) memantau sesi latihan skuad bawah 22 tahun. FOTO Asyraf Hamzah
HM Digital

Shah Alam: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee tidak peduli dengan apa yang ingin dilakukan Myanmar dalam pertemuan esok kerana misinya tetap sama, mahu meraih kemenangan untuk layak ke separuh akhir.

Pertemuan dengan Myanmar di Stadium Shah Alam bagi saingan Kumpulan A itu cukup penting buat pasukan tuan rumah mencari tempat ke separuh akhir selepas pencabarnya itu layak hasil kemenangan ketiga ke atas Brunei 6-0 kelmarin.

Meskipun sudah layak, pengendali Myanmar Gerd Zeise tetap mahu menurunkan skuad terbaik menentang Malaysia dan Kim Swee percaya anak buahnya sudah bersedia.

“Terpulang kepadanya (Zeise). Walaupun mereka sudah layak, kita hanya perlu tumpu kepada tugas kita. Kita harus cuba untuk mendapatkan tiga mata dalam perlawanan Isnin nanti dan kemungkinan besar layak bersama Myanmar.

“Dalam masa sama kita tidak perlu memikirkan mengenai Myanmar mahu menurunkan kesebelasan utama atau tidak kerana kita akan tumpu kepada perancangan sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk mara ke separuh akhir apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Brunei dan Singapura dalam dua perlawanan awal Kumpulan A.

Tiga mata perlu dicari dalam perlawanan esok bagi mengelak tekanan dalam perlawanan terakhir menentang Laos pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 3:53 AM