“Kita ada peluang untuk tambah pingat lawan pedang menerusi Natasha Ezzra (Abu Bakar) semalam (kelmarin) jika dia layak ke separuh akhir.

“Kita juga boleh mendapat pingat jika Nurul Affiq (Nazril Ismail) dapat terus beraksi saya tahu, di dalam sukan tidak ada perkataan jika.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kita tidak begitu bernasib baik kali ini,” kata jurulatih skuad lawan pedang Tamas Laszlo Medgyes.

Kelmarin, Natasha Ezzra tewas 14-15 di tangan atlet Vietnam di suku akhir dan semalam, Nurul Affiq yang bertanding dalam kategori foil individu, tewas 4-7 di tangan Nguyen Minh Quang, juga dari Vietnam.

Lebih malang, kecederaan betis kiri dialami Nurul Affiq sejak peringkat awal, menghalangnya beraksi baik sehingga terpaksa diusung keluar meninggalkan gelanggang sebaik tamat perlawanan.

“Saya ada bertanya sama ada dia boleh bertanding atau tidak dan Affiq kata dia tidak apa-apa. Kalau dia terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan, saya tidak marah.

“Begitupun, saya memuji semangat juang Affiq dan sangat berbangga memiliki atlet sepertinya.

“Pada pendapat saya, Affiq mampu menang perlawanan itu tapi kecederaannya menjadi penghalang.

“Dia sudah mencuba sebaik mungkin tapi nasib tidak menyebelahinya,” katanya.

Dalam acara lawan pedang individu, Malaysia hanya membawa pulang satu gangsa menerusi Yu Peng Kean.

Kategori berpasukan akan bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 8:12 AM