Reuters

London: Everton semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Gylfi Sigurdsson (gambar) dari Swansea City ketika mereka mahu menambah tiga pemain, kata pengurus Ronald Koeman.

Menurut media Britain, bidaan awal Everton bernilai £40 juta (RM223 juta) terhadap Sigurdsson ditolak Swansea, yang meletakkan nilai £50 juta (RM279 juta) buat pemain Iceland itu.

“Kami semakin hampir (mendapatkan Sigurdsson), kami perlu menunggu, kontrak itu masih belum dimeterai,” kata Koeman.

“Semua orang tahu kami mencari tiga lagi pemain, seorang pertahanan kiri, pertahanan dan pemain yang boleh bermain kedua-dua posisi, seorang pemain sayap dan penyerang, itulah gambarannya, itulah yang terbaik untuk pasukan kami dan kita lihat apa yang boleh dilakukan.”

Pemain sayap Aaron Lennon tidak berada dalam skuad Everton dalam aksi persahabatan pramusim menentang kelab Sepanyol itu. Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Watford tetapi Koeman berkata kelab itu masih belum menerima sebarang tawaran buat pemain berusia 30 tahun itu.

“Punca mengapa dia tidak berada dalam skuad kerana dia tidak cergas untuk bermain hari ini. Saya tidak tahu jika ada yang berminat terhadap Aaron, saya tidak tahu,” kata jurulatih kelahiran Belanda itu.

Everton dilihat sebagai antara kelab Liga Perdana Inggeris yang aktif dalam musim perpindahan kali ini selepas membawa Michael Keane, Davy Klaassen, Jordan Pickford, Sandro Ramirez, Wayne Rooney dan Cuco Martina ke dalam skuad mereka.

Skuad Koeman menanti kunjungan Stoke City di Goodison Park pada perlawanan pertama mereka Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 10:28 AM