SIGURDSSON (tengah) menjadi pemain termahal Everton dengan yuran perpindahan RM249 juta.
SIGURDSSON (tengah) menjadi pemain termahal Everton dengan yuran perpindahan RM249 juta.
AFP

EVERTON akhirnya bersetuju dengan perjanjian untuk mengikat pemain tengah Swansea City, Gylfi Sigurdsson dengan harga sekitar £45 juta (RM249 juta), menurut beberapa laporan semalam.

Sigurdsson sudah lama berada dalam senarai pemain paling dikehendaki Ronald Koeman sejak beberapa bulan lalu namun masalah bayaran perpindahan menangguhkan pemergian pemain kebangsaan Iceland itu.

Bekas pemain Tottenham itu terlepas aksi pramusim di Amerika Syarikat apabila rundingan itu berlanjutan.

Dia menyertai latihan pasukan utama selepas Swansea kembali dari AS namun dia tidak tampil dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Southampton, Sabtu lalu.

Everton berhasrat mengikat pemain itu sebelum pasaran perpindahan pemain ditutup hujung bulan ini dan dipercayai Swansea akhirnya bersetuju menjual pemain aset mereka itu.

Pemain berusia 27 tahun itu dijangka menjalani ujian pemeriksaan perubatan hari ini sebelum menyertai Everton dengan rekod bayaran perpindahan kelab Merseyside itu.

Rekod tertinggi bayaran perpindahan Everton sebelum ini adalah £31 juta (RM171 juta) buat Romelu Lukaku, yang dijual kepada Manchester United dengan rekod Britain £75 juta (RM414 juta) pada musim panas kali ini.

Koeman menggunakan dana penjualan Lukaku untuk berbelanja sakan dan akan mengatasi catatan £100 juta (RM553 juta) sebaik Sigurdsson dibeli.

Pengendali dari Belanda itu mengikat semula Wayne Rooney dari Manchester United selain membeli Michael Keane, Jordan Pickford, Davy Klaassen dan Sandro Ramirez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 7:56 AM