London: Pemain Southampton Sadio Mane berkata, Saints perlu belajar daripada kekalahan 3-0 di tangan Everton dan mereka perlu segera bangkit selepas diperkotak-katikkan lawan di gelanggang sendiri.

Everton mendahului 2-0 pada babak pertama hasil kecemerlangan yang dipamerkan Romelu Lukaku dan pemain tengah Ross Barkley menambah gol ketiga selepas babak kedua bersambung.

“Saya kecewa dengan keputusan itu,” kata pemain tengah Mane ketika ditanya mengenai perlawanan berkenaan.

“Ia bukan mudah, ia bukan hari yang baik buat kami, tetapi kami perlu segera lupakan dan menumpukan perhatian kepada perlawanan akan datang,” kata pemain antarabangsa Senegal itu.

Southampton yang bakal bertandang ke Watford hujung minggu ini, perlu mencari seorang pemain tengah baru sebelum tempoh perpindahan pemain tamat pada 1 September.

Kecederaan beberapa pemain utama membuatkan pengurus Ronald Koeman hanya bergantung kepada Cuco Martina sebagai pilihan ketika menentang Everton.

Ketika Ryan Bertrand, Steven Caulker dan Florin Gardos semuanya cedera selain lima gol yang dilepaskan sepanjang dua perlawanan musim ini, masalah pertahanan pasukan dilihat menjadi agenda utama.

“Semua orang sedar bahawa kami sedang berusaha membawa masuk seorang pemain pertahanan dan jika ia berjaya dilakukan, kami akan lengkap,” kata Koeman.

“Masalah utama yang kami hadapi sekarang ialah kami masih belum jumpa pemain sesuai. Kami hanya mempunyai seorang pemain pertahanan di bangku simpanan, manakala Matthew Targett bermain 90 minit dalam keadaan demam, tidak cergas 100 peratus dan kami tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan itu,” kata pengurus itu lagi.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 9:43 AM