AFP

Dortmund, Jerman: Pierre-Emerick Aubameyang (gambar) mendedahkan dia ditawarkan kontrak lumayan oleh kelab dari China namun kelabnya Borussia Dortmund menegaskan pemain tidak akan meninggalkan kelab itu musim ini.

Aubameyang, yang masih mempunyai kontrak hingga 2020, mengesahkan dalam edisi Ahad Die Welt bahawa terdapat tawaran dari kelab China yang tidak dinamakan tetapi Dortmund berkata pemain itu tidak akan meninggalkan kelab pada musim 2017-18.

Pemain berusia 28 tahun itu dikaitkan dengan kelab China Tianjin Quanjin, yang tahun lalu membeli penyerang Perancis Anthony Modeste dari pencabar Dortmund, Cologne dengan kontrak dilaporkan bernilai 35 juta euro (RM176.4 juta).

“Ya, saya menerima tawaran namun saya fikir kelab China itu terpaksa bekerja keras untuk membuat bidaan kepada Borussia Dortmund,” kata Aubameyang.

“Saya fikir strukturnya masih tidak profesional seperti di Eropah.”

Malah pemain Gabon itu mengakui dia tertarik dengan tawaran itu.

“Ada sesuatu yang normal jika anda terfikir mengenainya dengan tawaran sejumlah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 10:48 AM