MKHITARYAN (tengah) teruja kembali beraksi bersama Aubameyang.
MKHITARYAN (tengah) teruja kembali beraksi bersama Aubameyang.
AFP

LONDON: Henrikh Mkhitaryan memasang impian besar di Arsenal selepas disatukan kembali dengan rakan karib dan ‘rakan sepasukan terbaik’ di bilik persalinan, Pierre-Emerick Aubameyang.

Mkhitaryan menghasilkan tiga hantaran yang menghasilkan gol dalam penampilan sulungnya di laman sendiri termasuk umpanan yang membantu Aubameyang menyumbat gol sulungnya di Arsenal apabila Gunners membelasah Everton 5-1 hujung minggu lalu sekali gus memberi nafas baru keyakinan dalam kalangan penonton Emirates yang sering kecewa.

Aubameyang dan Mkhitaryan berganding hebat selama tiga tahun di Borussia Dortmund sebelum pemain Armenia itu berpindah ke Manchester United.

Bagaimanapun, kehadiran bekas staf Dortmund iaitu ketua pengambilan Sven Mislintat di Arsenal membantu menyatukan kembali kedua-duanya selepas perpindahan Alexis Sanchez ke United menyaksikan Mkhitaryan menuju ke Emirates manakala Arsenal memecah rekod kelab £56 juta (RM306 juta) terhadap Aubameyang pada hari terakhir jendela perpindahan Januari.

“Saya fikir ia hanya dalam mimpi kami boleh menyertai kelab lain bersama selepas Dortmund,” kata Mkhitaryan.

“Saya amat mengenalinya, dia seorang daripada rakan terbaik saya dan rakan sepasukan terbaik pernah saya miliki. Saya amat gembira dia berada di sini dan saya fikir semua peminat gembira menyaksikannya menyarung jersi Arsenal.

“Apa yang boleh saya katakan? Saya suka bermain dengannya. Saya boleh memahaminya dari langkahan pertama dan harapnya bagi perlawanan berikutnya kami meraih banyak keputusan positif lagi.”

Arsene Wenger mahukan gandingan serangan barunya termasuk Mesut Ozil untuk terus menyinar jika Arsenal mahu mengekalkan harapan berakhir dalam kelompok empat teratas apabila mereka menentang musuh setempat Tottenham Hotspur malam esok.

Arsenal yang menghuni tangga keenam ketinggalan lima mata berbanding tempat ke Liga Juara-Juara namun Mkhitaryan menegaskan impian kelab itu adalah memenangi trofi.

“Pertamanya kami perlu menang banyak perlawanan. Keduanya, kami perlu memikirkan kami mesti menang kejuaraan kerana di hujung karier anda hanya kejuaraan yang bermakna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:30 PM